Kekacauan di Ireland Utara, 15 polis cedera

Kekacauan di Ireland Utara, 15 polis cedera

Ia berlaku susulan tunjuk perasaan aman menyokong keluarga seorang gadis yang didakwa menjadi mangsa serangan seksual.

Polis Ireland Utara mengesahkan 15 anggota polis cedera dalam kekacauan di Ballymena, yang turut menyebabkan empat rumah terbakar. (Gambar AP)
LONDON:
Polis Ireland Utara mengesahkan 15 anggota polis cedera semasa satu kekacauan pada Isnin malam, lapor Xinhua.

Perkhidmatan Polis Ireland Utara (PSNI) dalam kenyataan di laman sesawangnya pada Selasa mengutuk keganasan yang berlaku di Ballymena.

Menurut media tempatan, kekacauan itu berlaku selepas satu tunjuk perasaan aman menyokong keluarga seorang gadis yang didakwa menjadi mangsa serangan seksual hujung minggu lepas.

Polis menyatakan sekitar 7.30 malam waktu tempatan, perhimpunan awam yang dirancang pada mulanya berlangsung secara aman menuju ke kawasan Clonavon Terrace, Ballymena.

Beberapa individu bertopeng kemudian memisahkan diri daripada perhimpunan, membina perintang, mengumpul bahan pelontar dan menyerang hartanah di kawasan Clonavon Terrace.

Sebahagian peserta kemudian menyerang anggota polis yang terpaksa menghadapi serangan berterusan selama beberapa jam.

Dalam insiden itu, beberapa kediaman dan premis perniagaan mengalami kerosakan dengan tingkap dan pintu dipecahkan. Empat rumah terbakar menyebabkan tiga penghuni dipindahkan.

Seorang lelaki berusia 29 tahun ditahan kerana disyaki melakukan rusuhan, cuba melakukan kerosakan harta benda dan melawan polis, menurut kenyataan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.