Banyak lori bantuan dipintas penduduk terdesak, kelaparan, kata PBB

Banyak lori bantuan dipintas penduduk terdesak, kelaparan, kata PBB

PBB berkata rampasan bantuan oleh penduduk bukan jenayah terancang, tetapi didorong rasa lapar dan putus asa.

Palet bantuan makanan dimuatkan ke trak yang menunggu di Kerem Shalom untuk dihantar ke kawasan memerlukan di Gaza pada Khamis lalu. (Gambar EPA Images)
NEW YORK:
Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) memaklumkan banyak lori bantuan yang dibenarkan memasuki Gaza baru-baru ini dirampas muatannya oleh penduduk terdesak dan kelaparan, lapor agensi berita Xinhua.

Jurucakap Timbalan Setiausaha Agung PBB, Farhan Haq, berkata pihaknya menghantar sekitar 100 lori sarat muatan ke Kerem Shalom dan kira-kira 35 lori dibawa dari bahagian Palestin di sempadan itu untuk dihantar ke kawasan yang memerlukan di Gaza.

“Pada Rabu, enam lori membawa tepung dipintas penduduk dan muatannya dibawa keluar. Pada malam Khamis pula, 15 lori mengalami nasib sama.

“Setakat yang kami faham, kejadian ini bukanlah jenayah terancang, tetapi tindakan didorong rasa lapar dan putus asa.”

Beliau berkata, agensi kemanusiaan PBB sedang berusaha membina semula kepercayaan dengan komuniti tempatan bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Namun, menurutnya, cara terbaik mengelak rampasan ialah menyalurkan lebih banyak bantuan bagi memastikan penduduk tidak berada dalam keadaan terlalu terdesak.

Dalam pertemuan dengan wartawan, Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres turut bimbang hanya sejumlah kecil bantuan berjaya menyeberangi sempadan Gaza selepas hampir 80 hari bantuan disekat Israel.

Beliau berkata, hampir 400 lori mendapat kelulusan memasuki Gaza melalui satu-satunya laluan dibenarkan dalam beberapa hari lalu, tetapi hanya kira-kira 115 daripadanya berjaya dihantar dan tiada satu pun sampai ke kawasan utara dikepung.

“Semua bantuan yang diluluskan setakat ini hanyalah setitis air tatkala Gaza memerlukan limpahan bantuan.

“Keperluannya sangat besar, tetapi halangannya amat membebankan. Barangan diagihkan dikenakan kuota ketat serta prosedur menyusahkan yang tidak perlu,” katanya sambil menambah bekalan penting lain seperti bahan api, khemah, gas memasak dan alat penapis air turut dilarang masuk.

“Kami terus memohon langkah keselamatan dan mitigasi risiko untuk konvoi kami.”

Haq berkata, Program Makanan Sedunia (WFP) turut merayu pihak berkuasa Israel membenarkan lebih banyak bantuan memasuki Gaza dengan lebih pantas, konsisten dan laluan lebih selamat.

Ini kerana, katanya, bekalan dari luar Gaza lazimnya hanya sampai ke lintasan sempadan selepas satu atau dua hari susulan pemeriksaan rumit dan memakan masa.

“Saiz muatan tidak seragam. Di Gaza, pasukan kami akan menyusun satu lapisan tambahan palet bagi memaksimumkan ruang lori,” katanya sambil memaklumkan penghantaran pada Khamis merangkumi tepung, makanan berkhasiat dan bekalan perubatan.

Walaupun berdepan pelbagai cabaran, pasukan PBB di Gaza melaporkan bantuan sedikit itu sudah sampai kepada penduduk memerlukan.

Beberapa kedai roti dapat beroperasi Khamis lalu hasil bantuan tepung dan bahan api daripada PBB.

“Sementara itu, sebuah hospital medan di selatan Gaza turut menerima bekalan perubatan amat diperlukan minggu ini.”

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran peningkatan serangan di Gaza mengakibatkan sistem kesihatan sedia lemah ke ambang kehancuran.

WHO merujuk serangan ke atas Hospital Al Awda di utara Gaza Khamis lalu, menyebabkan khemah triage, termasuk yang disediakan WHO terbakar dan memusnahkan semua bekalan perubatan serta beberapa kenderaan di tingkat bawah tanah.

Cubaan WHO memasuki hospital itu dihalang, manakala sumber dari hospital melaporkan kebakaran belum dipadam sepenuhnya pada pagi Jumaat.

Menurut WHO, 4% daripada hampir 700 serangan ke atas fasiliti kesihatan di Gaza sejak Oktober 2023 berlaku dalam tempoh minggu lalu saja.

Kini, sekurang-kurangnya 94% hospital di Gaza rosak atau musnah, dengan separuh daripadanya tidak lagi beroperasi.

Agensi itu memaklumkan empat hospital utama – Hospital Kamal Adwan, Hospital Indonesia, Hospital Hamad untuk Rehabilitasi dan Prostetik serta Hospital Gaza Eropah – terpaksa menghentikan perkhidmatan seminggu lalu akibat serangan atau berada dalam zon pemindahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.