
Khemah dan tempat perlindungan sementara di seluruh Semenanjung Gaza dinaiki air susulan hujan lebat daripada Ribut Byron sejak lewat Rabu, memburukkan penderitaan penduduk wilayah itu yang hampir semuanya dipindahkan akibat perang lebih dua tahun.
Agensi pertahanan awam Gaza yang beroperasi sebagai pasukan penyelamat di bawah pihak berkuasa Hamas memberitahu AFP, tiga kanak‑kanak meninggal dunia akibat kesejukan – dua di Gaza City dan seorang di Khan Younis.
Hospital Al‑Shifa di Gaza City mengesahkan kematian Hadeel al‑Masri, 9, dan Taim al‑Khawaja, yang menurut hospital itu baru berusia beberapa bulan.
Khamis lalu, Hospital Nasser di Khan Younis berkata, bayi berusia lapan bulan, Rahaf Abu Jazar, meninggal dunia di kawasan khemah Al‑Mawasi akibat kesejukan.
Dengan kebanyakan bangunan di Gaza musnah atau rosak, ribuan khemah dan tempat perlindungan sementara kini memenuhi kawasan yang dibersihkan daripada runtuhan.
Jurucakap pertahanan awam, Mahmud Bassal, berkata enam maut apabila sebuah rumah runtuh di kawasan Bir al‑Naja, utara Semenanjung Gaza.
Katanya, dua mayat ditemui bawah runtuhan sebuah rumah di kawasan kejiranan Sheikh Radwan di Gaza City dan lima lagi maut dalam beberapa insiden berasingan dinding runtuh.
Agensi pertahanan awam dalam kenyataan berkata, pasukannya bertindak balas terhadap panggilan daripada “13 rumah runtuh akibat hujan lebat dan angin kencang, kebanyakannya di Gaza City dan kawasan utara”.