
Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) dalam kenyataan berkata, Pati yang memilih pulang menggunakan aplikasi Customs and Border Protection (CBP) Home App akan menerima wang tunai serta bantuan perjalanan.
Pembayaran hanya dibuat selepas kepulangan mereka disahkan menerusi aplikasi itu.
“Jika anda berada di sini secara haram, pemulangan sukarela cara terbaik, paling selamat dan menjimatkan untuk meninggalkan Amerika Syarikat (AS) serta mengelakkan ditahan,” kata Setiausaha DHS, Kristi Noem.
Menurut DHS, kaedah pemulangan sukarela lebih bermaruah kerana Pati boleh mengelak dikesan Agensi Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam.
Dengan jutaan Pati dianggarkan menetap di AS, DHS berkata, inisiatif itu dapat mengurangkan kos pengusiran secara ketara – lebih dua pertiga daripada kos biasa.
Ketika ini, purata kos menahan, memproses dan menghantar pulang seorang migran mencecah USD17,121.
“Ini pilihan paling selamat buat pihak berkuasa dan migran serta menjimatkan kira-kira 70% kos kepada pembayar cukai Amerika. Muat turun CBP Home App hari ini dan pulang secara sukarela,” kata Noem.
DHS berkata, inisiatif itu sudah digunakan seorang migran yang kembali ke Honduras menaiki penerbangan dari Chicago, manakala beberapa lagi menempah tiket untuk pulang minggu ini dan minggu depan.
Migran yang menyerahkan notis “Hasrat untuk pulang” secara sukarela juga “tidak lagi menjadi keutamaan untuk penahanan dan pengusiran sebelum tarikh pemergian mereka”.
DHS menjelaskan Pati yang menyertai program itu mungkin berpeluang kembali ke AS secara sah pada masa depan.