PRU Singapura: PAP dahului kiraan sampel

PRU Singapura: PAP dahului kiraan sampel

Parti Tindakan Rakyat dijangka mengekalkan majoriti dua pertiga.

PAP EPA 030525
Keputusan kiraan sampel menunjukkan Parti Tindakan Rakyat dijangka mengekalkan majoriti dua pertiga dengan memenangi 87 daripada 97 kerusi Parlimen. (Gambar EPA Images)
SINGAPURA:
Parti Tindakan Rakyat (PAP) Singapura dijangka mengekalkan majoriti dua pertiga dalam PRU2025 dengan memenangi 87 daripada 97 kerusi Parlimen, menurut keputusan kiraan sampel setakat 10.55 malam tadi.

Parti Pekerja (WP) pula dijangka memperoleh 10 kerusi, sekali gus dilihat bakal mengekalkan kemenangan dalam PRU2020 di Kawasan Undi Perseorangan Hougang, dan Kawasan Undi Perwakilan Kumpulan Sengkang serta Aljunied.

Keputusan awal ini adalah berdasarkan kiraan sampel yang dijalankan pada permulaan proses pengiraan bagi memberikan petunjuk awal mengenai kemungkinan keputusan bagi setiap bahagian pilihan raya.

Bagaimanapun, keputusan akhir mungkin berbeza kerana wujud jidar selisih dalam kaedah kiraan sampel.

Jabatan Pilihan Raya menasihatkan orang ramai agar menunggu pengumuman rasmi keputusan pilihan raya oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Han Kok Juan, yang akan disiarkan secara langsung di televisyen.

“Proses pengiraan masih berjalan,” menurut kenyataan jabatan itu.

Ini merupakan PRU ke-19 di Singapura dan ke-14 sejak kemerdekaan pada 1965.

Pada hari penamaan calon sebelum ini, PAP telah menang tanpa bertanding lima kerusi di Kawasan Undi Perwakilan Kumpulan Marine Parade–Braddell Heights.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.