Batal dana USD2 bilion, Universiti Harvard saman pentadbiran Trump

Batal dana USD2 bilion, Universiti Harvard saman pentadbiran Trump

Presiden Universiti Harvard Alan Garber failkan tuntutan mahkamah untuk hentikan pembekuan pembiayaan.

alan garber
Presiden Universiti Harvard Alan Garber, berkata kerajaan guna ancaman untuk memaksa institusi itu patuh gabungan pandangan dan ideologi pilihan kerajaan.  (Gambar EPA Images)
WASHINGTON:
Universiti Harvard menyaman pentadbiran Trump selepas kerajaan persekutuan membatalkan lebih USD2 bilion pembiayaan untuk universiti elit itu, lapor Anadolu Ajansi.

“Sepanjang minggu lalu, kerajaan persekutuan telah mengambil beberapa tindakan berikutan keengganan Harvard mematuhi tuntutan haramnya,” kata Presiden Alan Garber dalam kenyataan.

“Kami telah memfailkan tuntutan mahkamah untuk menghentikan pembekuan pembiayaan kerana ia menyalahi undang-undang dan di luar kuasa kerajaan,” tambah Garber.

Menurut tuntutan mahkamah itu, pentadbiran Trump dituduh ‘menyalahi undang-undang’ kerana ia melanggar hak Pindaan Pertama, serta undang-undang dan peraturan persekutuan.

“Kerajaan menggunakan ancaman menahan dana persekutuan dalam usaha untuk memaksa Harvard mematuhi gabungan pandangan dan ideologi pilihan kerajaan,” menurut kenyataan itu.

Universiti berkenaan merupakan institusi utama pertama yang secara terbuka menentang arahan pentadbiran tersebut, yang menurut pegawai Trump bertujuan memerangi antisemitisme susulan protes kampus berkaitan perang ganas Israel di Semenanjung Gaza.

Pentadbiran itu turut menyasarkan program kepelbagaian, kesaksamaan, dan keterangkuman (DEI), yang disifatkan mereka sebagai ‘diskriminasi yang haram dan tidak bermoral’.

Walaupun pentadbiran Trump mendakwa tujuannya adalah untuk memerangi antisemitisme, Garber berkata beliau, sebagai seorang Yahudi dan rakyat Amerika, amat memahami bahawa terdapat ‘kebimbangan yang sah’ mengenai peningkatan antisemitisme.

“Harvard mengambil serius usaha ini. Kami akan terus melawan kebencian dengan penuh keprihatinan…Sebelum mengambil tindakan hukuman, undang-undang menetapkan bahawa kerajaan persekutuan perlu berunding dengan kami mengenai cara kami menanganinya dan akan terus memerangi antisemitisme,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.