Bumbung kelab malam runtuh, angka korban kini 79

Bumbung kelab malam runtuh, angka korban kini 79

Mangsa korban termasuk seorang penyanyi popular, gabenor wilayah dan dua bekas pemain MLB.

Dominican nightclub AP 090425
Pasukan kecemasan menggunakan peralatan berat untuk mempercepatkan pembersihan runtuhan dan usaha mencari. (Gambar AP)
SANTO DOMINGO:
Angka korban akibat bumbung sebuah kelab malam runtuh di ibu negara Republik Dominican meningkat kepada 79 orang, dengan kira-kira 155 lagi cedera.

Pasukan mencari dan menyelamat berusaha mengeluarkan mangsa terperangkap di bawah runtuhan, manakala keluarga mangsa berkumpul dekat kelab malam Jet Set untuk mendapatkan maklumat orang tersayang.

“Saya ada ahli keluarga yang terperangkap bawah runtuhan dan kami tidak tahu apa yang berlaku kepada mereka,” kata Pedro Martinez, pemain Major League Baseball (MLB) selama 17 musim, dalam video dikongsi di Instagramnya.

Pihak berkuasa berkata, mangsa korban termasuk seorang penyanyi popular, gabenor wilayah dan bekas pemain MLB, Octavio Dotel.

Dotel meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital selepas dikeluarkan dari bawah runtuhan, kata jurucakap Kementerian Sukan.

Dotel, 51, memulakan kerjayanya dengan New York Mets pada 1999 dan bermain sehingga 2013 untuk lebih 12 pasukan.

Selain Dotel, pihak berkuasa tempatan mengesahkan bekas pemain MLB, Tony Blanco turut terkorban dalam runtuhan itu.

Juan Manuel Mendez, ketua pusat operasi kecemasan Republik Dominican berkata, jumlah sebenar pengunjung di dalam kelab malam itu ketika runtuhan masih tidak jelas.

Jurucakap presiden, Homero Figueroa dalam kenyataan berkata, kapasiti anggota kecemasan ditambah kerana “lebih banyak peralatan berat digunakan untuk mempercepatkan pembersihan runtuhan dan meneruskan usaha mencari”.

Tragedi itu berlaku ketika konsert penyanyi terkenal Republik Dominican, Rubby Perez, yang turut terkorban.

Konsert itu turut dihadiri ahli politik, atlet dan tokoh terkemuka lain.

Presiden Luis Abinader berkata, mangsa lain termasuk Gabenor Wilayah Monte Cristi utara, Nelsy Cruz, yang juga kakak kepada bekas pemain besbol, Nelson Cruz.

Pegawai kerajaan berkata, punca runtuhan masih disiasat dan ahli keluarga mangsa diberikan sokongan psikologi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.