
“China mengenakan tarif balas sebanyak 34%, selain tarif mereka yang sudah sedia tinggi, halangan bukan monetari, subsidi haram syarikat dan manipulasi mata wang jangka panjang – walaupun saya sudah memberi amaran mana-mana negara membalas tindakan AS dengan mengeluarkan tarif tambahan, selain penyalahgunaan jangka panjang mereka terhadap negara kami, akan segera dikenakan tarif baharu jauh lebih tinggi,” kata Trump menerusi media sosial.
Beliau memberi amaran jika China tidak menarik balik kenaikan tarif 34% itu sebelum 8 April, beliau akan melaksanakan tarif tambahan 50%, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Kadar tarif baharu itu akan berkuat kuasa mulai Rabu ini, katanya.
“Selain itu, semua rundingan dengan China berkaitan permohonan mesyuarat mereka dengan kami akan dibatalkan. Rundingan dengan negara lain yang turut memohon mesyuarat dengan kami akan dimulakan segera,” kata Trump.
Rabu lalu, Trump mengumumkan tarif timbal balik menyeluruh ke atas lebih 180 negara, dengan kadar antara 10% hingga 50%.
China dikenakan tarif 34%.
Sebagai tindak balas, Beijing turut mengenakan tarif tambahan 34% ke atas semua import dari AS – langkah dilihat sebagai tindak balas setimpal.