Indonesia rancang bina penjara di pulau terpencil untuk pegawai korup

Indonesia rancang bina penjara di pulau terpencil untuk pegawai korup

Presiden Indonesia Prabowo Subianto memberi amaran rasuah mengancam kesejahteraan negara, sekali gus menyukarkan kehidupan golongan pekerja penting.

jail penjara
Presiden Indonesia Prabowo Subianto berkata rancangan membina penjara berkeselamatan tinggi itu susulan peningkatan kes rasuah berprofil tinggi, termasuk skandal membabitkan syarikat milik kerajaan. (Gambar Reuters)
JAKARTA:
Presiden Indonesia, Prabowo Subianto mengumumkan rancangan membiayai pembinaan penjara berkeselamatan tinggi di sebuah pulau terpencil bagi menempatkan pegawai terbabit rasuah.

Inisiatif itu dibuat susulan peningkatan kes rasuah berprofil tinggi, termasuk skandal membabitkan syarikat milik kerajaan seperti Pertamina serta dakwaan terhadap ahli politik terkenal.

“Kita akan cari sebuah pulau, kalau mereka cuba melarikan diri, mereka akan berdepan dengan jerung,” katanya dipetik portal berita RMOL.ID.

Beliau turut menegaskan kesediaannya berdepan golongan korup sambil berkata: “Saya tidak takut kepada mafia. Polis dan tentera bersama saya, malah guru juga akan menyokong perjuangan ini.”

Prabowo memberi amaran rasuah mengancam kesejahteraan negara, sekali gus menyukarkan kehidupan golongan pekerja penting seperti guru, doktor, jururawat dan petani.

Beliau menegaskan keperluan membanteras rasuah bagi mengelakkan lebih banyak kemudaratan kepada negara sambil menambah: “Jika perlu, kita akan buang mereka dari Indonesia.”

Pendekatan tegas ini mencerminkan usaha lebih luas pentadbirannya dalam memperkukuh tadbir urus dan ketelusan, dengan matlamat memulihkan kepercayaan rakyat serta memastikan kerajaan bersih dan bertanggungjawab.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.