Jet pejuang silap jatuh 8 bom, panglima tentera udara Korea Selatan mohon maaf

Jet pejuang silap jatuh 8 bom, panglima tentera udara Korea Selatan mohon maaf

Insiden itu mengakibatkan 29 individu cedera, termasuk 15 orang awam.

Dua jet pejuang KF-16 tidak sengaja menjatuhkan lapan bom MK-82 di luar kawasan latihan di Pocheon, kira-kira 40km di utara Seoul Khamis lalu. (Gambar X)
SEOUL:
Panglima Angkatan Tentera Udara Korea Selatan pada Isnin mengemukakan permohonan maaf secara terbuka susulan insiden pengeboman di sebuah perkampungan awam minggu lalu dan menyifatkannya kejadian “tidak sepatutnya berlaku”.

Agensi berita Yonhap melaporkan dua jet pejuang KF-16 secara tidak sengaja menjatuhkan lapan bom MK-82 di luar kawasan latihan di Pocheon, kira-kira 40km di utara Seoul Khamis lalu.

Insiden itu mengakibatkan 29 individu cedera, termasuk 15 orang awam.

“Tentera udara yang sepatutnya melindungi nyawa dan harta rakyat, telah mendatangkan kemudaratan kepada rakyat.

“Ia insiden yang tidak sepatutnya berlaku dan tidak boleh berulang lagi,” kata Ketua Staf Tentera Udara, Lee Young-su dalam sidang media.

Lee mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap insiden itu, yang disifatkan pengeboman tidak disengajakan belum pernah berlaku, serta berjanji akan mengambil langkah pencegahan bagi memastikan ia tidak berulang.

Beliau turut berikrar memberikan bantuan penuh kepada penduduk terkesan bagi membantu mereka kembali kepada kehidupan harian, termasuk menyediakan pampasan serta sokongan perubatan dan krisis.

Kesilapan juruterbang dipercayai punca kejadian itu apabila seorang daripadanya memasukkan koordinat salah sebelum berlepas, menurut siasatan awal tentera udara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.