
Pendakwa Raya Nicolas Heitz memberitahu AFP, tiga lagi anggota polis cedera ringan dalam serangan di bandar Mulhouse yang dilakukan suspek 37 tahun dalam senarai pemerhatian pencegahan keganasan dan kini ditahan pihak berkuasa.
Katanya, seorang daripada dua pegawai parah itu cedera di arteri karotid, manakala seorang lagi di toraks.
Menteri Dalam Negeri, Bruno Retailleau berkata, pihak berkuasa Perancis membuat beberapa cubaan mengekstradisi suspek, tetapi negara asalnya Algeria enggan menerimanya.
Unit pendakwa raya antikeganasan kebangsaan Perancis (PNAT) yang mengambil alih siasatan berkata, suspek pada mulanya menyerang pegawai polis sambil melaungkan “Allahu Akbar”.
Saksi mengesahkan kepada AFP, suspek melaungkan “Allahu Akbar” beberapa kali.
PNAT dalam kenyataan berkata, seorang lelaki warga Portugis berusia 69 tahun yang melalui lokasi serangan cuba campur tangan dan maut.
Macron yang menyifatkan serangan itu “tindakan pengganas Islam” berkata, kerajaannya akan terus berusaha “sedaya upaya menghapuskan keganasan di bumi kita”.
Suspek dilahirkan di Algeria dan berada di bawah pengawasan serta tahanan rumah, dengan perintah pengusiran dari Perancis.
Retailleau memberitahu stesen penyiar Perancis TF1, Perancis cuba mengusirnya sebanyak 10 kali dan setiap kali ditolak Algeria.