‘Perang tarif’, Kanada umum senarai pertama terhadap AS

‘Perang tarif’, Kanada umum senarai pertama terhadap AS

Tarif dikenakan ke atas barangan antaranya minuman, produk kosmetik, dan kertas dianggar USD20 bilion.

tariffs Canada
Kanada akan mengumumkan senarai kedua tarif produk AS sebagai tindak balas ke atas keputusan Washington mengenakan tarif 25%. (Gambar AP)
OTTAWA:
Kerajaan Kanada mengumumkan senarai penuh barangan akan dikenakan tarif atau cukai import bernilai CD30 bilion (kira-kira USD21 bilion) dari Amerika Syarikat (AS), lapor Xinhua.

Jabatan Kewangan Kanada dalam kenyataan, memaklumkan fasa pertama tindak balas negara itu terhadap tarif dikenakan AS akan berkuat kuasa pada 4 Feb, selari pelaksanaan tarif oleh Washington.

Senarai barangan terlibat termasuk minuman, produk kosmetik, dan kertas, menurut kenyataan itu.

Pada Sabtu, Perdana Menteri Justin Trudeau turut mengumumkan Kanada berhasrat mengenakan tarif ke atas satu lagi senarai barangan import dari AS dianggarkan bernilai CD125 bilion (USD85 bilion).

Menurut kenyataan itu, senarai kedua akan diumumkan dalam beberapa hari akan datang dan dibuka untuk ulasan awam selama 21 hari sebelum pelaksanaannya.

Antara produk bakal dikenakan tarif termasuk kenderaan penumpang, trak dan bas, produk keluli dan aluminium, buah-buahan dan sayur-sayuran tertentu, produk aeroangkasa, selain daging, dan produk tenusu.

Pada masa sama, kerajaan Kanada turut memperkenalkan proses pengecualian bagi membolehkan perniagaan tempatan memohon pelepasan khas daripada tarif itu.

Kenyataan itu menegaskan semua pilihan kekal terbuka, termasuk pilihan bukan tarif sekiranya Washington terus mengenakan tarif tidak wajar terhadap Kanada.

Terdahulu, pentadbiran Trump mengenakan tarif ke atas import dari Kanada, Mexico, dan China, dengan kadar 25% bagi barangan dan 10% ke atas produk tenaga Kanada.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.