PBB lulus resolusi rakyat Palestin tentu nasib sendiri

PBB lulus resolusi rakyat Palestin tentu nasib sendiri

Sebanyak 172 negara menyokong resolusi itu manakala hanya tujuh negara termasuk Israel, AS menentang dan lapan lagi berkecuali.

UN general assembly
Penerimaan resolusi PBB ini menggambarkan tentangan dunia terhadap pendudukan dan aktiviti kolonial Israel, yang menghalang rakyat Palestin daripada menentukan nasib sendiri. (Gambar EPA Images)
NEW YORK:
Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada Selasa meluluskan resolusi yang mengiktiraf hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri dengan majoriti besar, lapor Agensi Berita dan Penerangan Palestin (Wafa).

Sebanyak 172 negara mengundi menyokong resolusi itu manakala hanya tujuh negara iaitu Israel, Amerika Syarikat, Micronesia, Argentina, Paraguay dan Papua New Guinea yang menentangnya.

Lapan lagi negara berkecuali iaitu Ecuador, Liberia, Togo, Tonga, Panama, Palau, Tuvalu dan Kiribati.

Penerimaan resolusi ini menggambarkan tentangan dunia terhadap pendudukan dan aktiviti kolonial Israel, yang menghalang rakyat Palestin daripada menentukan nasib sendiri dan hidup dengan bermaruah dalam sebuah negara yang merdeka, menurut Wafa.

Resolusi itu menekankan pendapat nasihat daripada Mahkamah Keadilan Antarabangsa diutamakan dengan mengisytiharkan pendudukan Israel di wilayah Palestin adalah haram dan menyeru agar ia dihentikan segera kerana kesannya yang merosakkan kemampuan rakyat Palestin menentukan nasib sendiri, seperti dijamin Piagam PBB dan undang-undang antarabangsa.

Kementerian Luar dan Ekspatriat Palestin mengalu-alukan penerimaan resolusi oleh Perhimpunan Agung itu, menegaskan yang ia mewakili hak asas dan tidak boleh dipisahkan serta merupakan teras kepada Piagam PBB.

Kementerian itu juga melahirkan penghargaan kepada negara-negara sahabat serta negara-negara yang menaja dan mengundi menyokong resolusi berkenaan, pada ketika genosid terus berlaku di Palestin.

Ia turut menekankan pentingnya untuk melaksanakan resolusi Perhimpunan Agung itu, dengan menerima pendapat nasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa bahawa pendudukan Israel adalah haram.

Wafa melaporkan, kementerian itu menggesa negara-negara yang tidak menyokong resolusi dan mengundi secara negatif untuk mempertimbang semula pendirian mereka dan menyertai majoriti moral selaras undang-undang antarabangsa.

Kementerian itu juga menegaskan komitmennya untuk bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa untuk melaksanakan resolusi berkaitan dan menjadikannya mekanisme yang berkesan untuk tindakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.