
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden memberi pengampunan kepada anaknya, Hunter Biden walaupun sebelum ini berjanji tidak akan berbuat demikian, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Hunter, 54, sebelum ini mengaku bersalah terhadap pertuduhan cukai persekutuan dalam perbicaraan kedua, selepas didapati bersalah atas pertuduhan berkaitan pemilikan senjata api dan penggunaan dadah.
Hukuman dijangka diumumkan bulan ini.
Presiden AS itu yang pernah berjanji tidak akan campur tangan dalam keputusan Jabatan Kehakiman berkata: “Jelas sekali Hunter dilayan secara berbeza.
“Tiada individu munasabah yang meneliti fakta kes Hunter boleh membuat kesimpulan lain, selain Hunter menjadi sasaran hanya kerana dia anak saya – dan ini adalah salah,” kata Biden dalam kenyataan dikeluarkan Rumah Putih.