
Tertuduh dijatuhi hukuman penjara 78 tahun sembilan bulan, manakala seorang lagi yang mengaku bersubahat dihukum penjara 59 tahun lapan bulan.
Mereka turut diperintahkan membayar pampasan kepada keluarga Franco. Keputusan itu disiarkan secara langsung dalam siaran televisyen perbicaraan.
Pendakwa raya sebelum ini memohon hukuman 84 tahun dan merancang untuk mengemukakan rayuan, menurut laporan portal berita G1. Laporan itu turut menyebut bahawa kedua-duanya perlu membayar pampasan sebanyak 706 juta Real Brazil (USD121 juta) kepada keluarga Franco.
Franco, seorang Ahli Majlis Bandaraya, ketika itu berusia 38 tahun ditembak mati dalam kenderaan di Rio de Janeiro.
Pemandu turut terkorban dalam serangan itu, manakala pembantu Franco mengalami kecederaan.
Franco, anggota parti sayap kiri PSOL, dikenali sebagai aktivis yang memperjuangkan hak penduduk di kawasan miskin (Favela). Beliau dilihat sebagai simbol harapan bagi golongan kiri di Brazil.
Pada Jun lalu, dua ahli politik dan seorang bekas ketua polis didakwa sebagai dalang pembunuhan Franco.
Perbicaraan terhadap mereka yang didakwa sebagai dalang masih belum berlangsung.
Pengarah Human Rights Watch Brazil, Cesar Munoz menyifatkan keputusan mahkamah pada Khamis sebagai “langkah penting ke arah keadilan” menerusi hantaran di platform X.
“Pendakwa raya perlu membina kes yang kukuh untuk turut menghukum pihak yang mengarahkan jenayah ini,” katanya.