1.4 juta gadis Afghan dilarang ke sekolah sejak Taliban kembali berkuasa

1.4 juta gadis Afghan dilarang ke sekolah sejak Taliban kembali berkuasa

Menurut Unesco, ketika ini, hampir 2.5 juta kanak-kanak perempuan dinafikan hak mereka untuk mendapat pendidikan.

afghan
Afghanistan satu-satunya negara di dunia yang melarang gadis dan wanita ke sekolah menengah serta universiti. (Gambar AP)
PARIS:
Sekurang-kurangnya 1.4 juta gadis di Afghanistan dinafikan akses pendidikan menengah sejak Taliban kembali berkuasa pada 2021 menyebabkan masa depan seluruh generasi kini terancam, kata agensi kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada Khamis.

Akses kepada pendidikan rendah turut merosot secara ketara, dengan 1.1 juta kanak-kanak perempuan dan lelaki bersekolah, kata Unesco dalam kenyataan sempena tiga tahun pihak berkuasa Taliban menawan Afghanistan pada 15 Ogos 2021.

Unesco bimbang dengan kesan berbahaya daripada kadar keciciran semakin besar ini, yang boleh membawa kepada peningkatan dalam buruh kanak-kanak dan perkahwinan awal.

Dalam tempoh tiga tahun saja, pihak berkuasa Taliban hampir menghapuskan kemajuan selama dua dekad yang dicapai Afghanistan dalam pendidikan dan masa depan seluruh generasi kini teracam.

Agensi PBB itu berkata, ketika ini, hampir 2.5 juta kanak-kanak perempuan dinafikan hak mereka untuk mendapat pendidikan, iaitu 80% daripada kanak-kanak perempuan yang sepatutnya ke sekolah.

Pentadbiran Taliban yang tidak diiktiraf mana-mana negara lain, mengenakan sekatan ke atas wanita yang disifatkan PBB sebagai apartheid jantina.

Afghanistan satu-satunya negara di dunia yang melarang gadis dan wanita ke sekolah menengah serta universiti.

Menurut Unesco, larangan itu menyebabkan sekurang-kurangnya 1.4 juta kanak-kanak perempuan sengaja dinafikan akses kepada pendidikan menengah sejak 2021.

Ini mewakili peningkatan sebanyak 300,000 sejak kiraan terdahulu oleh Unesco pada April 2023.

Ketua Pengarah Unesco, Audrey Azoulay menggesa masyarakat antarabangsa terus berusaha bagi mendapatkan akses ke sekolah dan universiti tanpa syarat buat gadis serta wanita Afghanistan.

Jumlah murid sekolah rendah turut berkurangan. Afghanistan hanya mempunyai 5.7 juta murid perempuan dan lelaki di sekolah rendah pada 2022 berbanding 6.8 juta pada 2019, kata Unesco yang menyalahkan keadaan itu atas keputusan pihak berkuasa melarang guru wanita mengajar lelaki serta kekurangan insentif untuk ibu bapa menghantar anak ke sekolah.

Enrolmen dalam pendidikan tinggi juga membimbangkan, menurut kenyataan itu, sambil menambah bilangan pelajar universiti merosot sebanyak 53% sejak 2021.

Akibatnya, Afghanistan dengan cepat akan berdepan kekurangan graduan terlatih dalam bidang berkemahiran tinggi yang hanya akan memburukkan lagi masalah pembangunan negara itu, kata Unesco.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.