Kobayashi siasat 76 lagi kematian berkait pilnya

Kobayashi siasat 76 lagi kematian berkait pilnya

Pil itu mengandungi beras yis merah atau ‘beni koji’ bagi menurunkan kolesterol.

Kobayashi mengesan sejenis asid berpotensi toksik di sebuah kilangnya awal tahun ini. (Gambar Kyodo News/AP)
TOKYO:
Pengeluar makanan tambahan kesihatan Jepun, Kobayashi Pharmaceutical sedang menyiasat 76 lagi kematian mungkin dikaitkan dengan pilnya yang mengandungi beras yis merah atau “beni koji” bagi menurunkan kolesterol.

Ia memburukkan lagi skandal tercetus awal tahun ini, di mana syarikat itu berkata, ia sedang menyiasat lima kematian berpotensi dikaitkan dengan produk terbabit selepas berpuluh-puluh pelanggan mengalami masalah buah pinggang.

“Walaupun punca langsung kemasukan ke hospital atau kematian bukan penyakit berkaitan buah pinggang, jelas terdapat pelbagai kes, termasuk kes di mana produk berkaitan beni koji mungkin menyebabkan kemudaratan dan mempunyai beberapa kesan tidak langsung,” kata Kobayashi dalam kenyataan.

Daripada lima kematian awal yang sedang disiasat, syarikat itu berkata, ia kini tahu seorang daripanya tidak makan beras yis merah.

Beras yis merah adalah bahan diekstrak atau dihasilkan melalui proses penapaian beras menggunakan sejenis yis. Ia digunakan dalam makanan, minuman beralkohol dan ubat-ubatan selama berabad di Asia Timur.

“Kami terima 1,656 pertanyaan daripada individu yang mendapatkan rawatan perubatan dan 76 kes sedang disiasat berhubung kaitan dengan kematian,” katanya sambil menyatakan ia tambahan kepada empat kes asal.

Kobayashi Pharmaceutical pada 22 Mac lalu mengumumkan penarikan balik tiga jenis tablet mengandungi beni koji.

Menurutnya, ia mengesan asid berpotensi toksik yang dihasilkan di sebuah kilangnya dan pegawai kerajaan sudah memeriksa kemudahan syarikat itu.

Kobayashi Pharmaceutical terkenal di Jepun. Ia menjual pelbagai produk berkaitan kesihatan dan skandal itu menjadi berita utama di negara berkenaan.

Hari ini, Kobayashi berkata, ia belum mengenal pasti punca sebenar dan skop kerosakan kesihatan, termasuk sama ada ia boleh membahayakan organ selain buah pinggang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.