
Pengakuan itu sebahagian daripada perjanjian dengan Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat (AS) untuk mengelakkan hukuman penjara lebih lama, menamatkan episod undang-undang selama bertahun-tahun, lapor Xinhua.
Walaupun mengaku bersalah atas satu tuduhan jenayah “memperoleh dan menyebarkan maklumat sulit berkaitan pertahanan negara secara tidak sah”, Assange akan dibenarkan pulang ke Australia tanpa menjalani hukuman penjara di AS.
DoJ bersetuju mengadakan perbicaraan di pulau terpencil itu di Pasifik kerana Assange tidak mahu ke AS.
Assange terlibat dalam pertikaian undang-undang panjang dengan kerajaan AS atas peranannya dalam memperoleh dan membocorkan dokumen rahsia ketenteraan serta diplomatik antara 2009 dan 2011. Fail itu termasuk ratusan ribu dokumen sulit tentera AS berkaitan perang di Afghanistan dan Iraq.
Penyokongnya menganggap beliau wartawan berani dan pemberi maklumat mendedahkan salah laku kerajaan, manakala pengkritiknya berkongsi kebimbangan serius mengenai potensi bahaya disebabkan kebocoran maklumatnya.
Perjanjian dengan DoJ mengakhiri penderitaan Assange selama 12 tahun membabitkan tujuh tahun di Kedutaan Ecuador di London dan lima tahun dalam penjara keselamatan maksimum Belmarsh di London untuk melawan ekstradisi ke AS.
Perjanjian itu dicapai selepas AS mendapat tekanan semakin meningkat daripada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan sekutu seperti Australia dan Jerman, yang semuanya mendesak AS menggugurkan ekstradisi serta an menyelesaikan kes itu segera.