
Dalam satu hantaran ringkas dengan nada bersahaja di media sosial petang tadi, Anwar menyatakan, emel tersebut dihantar bertahun-tahun lepas.
“Baru hari ini saya tahu ada pihak luar yang mahu bertemu dan siap ‘petik’ nama saya dalam emel melibatkan kes Epstein.
“Alhamdulillah, dah belasan tahun seperti yang disebut dalam emel, dan saya langsung tiada kaitan dengan mana-mana pihak yang berbalas emel tu, terutama Epstein.
“Ok, saya nak sambung jalan-jalan di Johor Bahru,” katanya.
Dalam emel bertarikh 21 Feb 2012 itu, kenalan Epstein yang namanya dipadam DOJ bertanya sama ada satu pertemuan patut diatur antara Anwar dan “Jes” bagi meneliti potensi manfaat masa depan untuk ‘JPM’, merujuk bank AS JP Morgan dan Jes Staley, ketua eksekutif pelaburan syarikat itu ketika itu.
“Patutkah kita aturkan pertemuan tertutup untuk Jes bersama Anwar? Jika beliau jadi perdana menteri Malaysia, beliau akan lakukan ‘pembersihan’ dan itu boleh jadi lubuk emas bagi JPM,” kata kenalan Epstein.
“Saya sangat kenal Anwar, sentiasa rapat dengannya bertahun-tahun walaupun semua orang kata beliau sudah tiada harapan dan tak mungkin kembali. Nampak berbeza sekarang.”
Epstein membalas mencadangkan pertemuan pada Mei, bertanya sama ada Anwar akan ke AS atau Eropah, dan menyuruh kenalannya menawarkan prospek penerbitan filem Hollywood di Malaysia.
“Kamu boleh beritahu (Anwar), Woody Allen ada dengan saya di Paris, dan banyak negara sedang tawarkan wang kepadanya untuk buat filem di negara mereka,” katanya.