37 maut banjir kilat di Sumatera Barat

37 maut banjir kilat di Sumatera Barat

Hujan lebat pada petang Sabtu menyebabkan banjir kilat, tanah runtuh dan aliran lava sejuk.

Tanah Datar, West Sumatra
Jalan di Tanah Datar, Sumatera Barat yang rosak akibat banjir kilat. (Gambar AP)
TANAH DATAR:
Banjir kilat dan tanah runtuh di wilayah Sumatera Barat, Indonesia meragut sekurang-kurangnya 37 nyawa hujung minggu lalu, dengan 17 mangsa masih hilang, kata pihak berkuasa hari ini.

Ketua pasukan penyelamat wilayah, Abdul Malik berkata, hujan lebat pada petang Sabtu menyebabkan banjir kilat, tanah runtuh dan aliran lava sejuk, iaitu campuran abu gunung berapi, serpihan batu dan air yang mengalir seperti lumpur, di tiga daerah di wilayah Sumatera Barat.

Lahar sejuk itu dari Gunung Marapi, antara gunung berapi paling aktif di Sumatera.

Disember lalu, lebih 20 orang maut selepas Gunung Marapi meletus, yang disusuli beberapa siri letusan kemudian.

“Aliran lahar sejuk dan banjir kilat sering menjadi ancaman kami kebelakangan ini. Masalahnya, ia selalu berlaku lewat malam hingga subuh.”

Beliau berkata, kira-kira 400 anggota penyelamat, polis dan tentera dikerahkan untuk mencari mangsa hilang hari ini, dengan dibantu sekurang-kurangnya lapan jengkaut serta dron.

Usaha menyelamat bermula semalam menjadi rumit akibat jalan rosak yang menyukarkan pasukan penyelamat.

Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB) dalam kenyataan berkata, hampir 200 rumah rosak dan 72 hektar tanah, termasuk sawah padi terjejas. Sekurang-kurangnya 159 penduduk di daerah Agam dipindahkan ke sekolah berhampiran.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.