25 maut bas terjunam ke dalam gaung

25 maut bas terjunam ke dalam gaung

Bas antara negeri itu membawa 50 penumpang ketika kejadian yang berlaku di sebuah lebuh raya di Peru.

Operasi menyelamat yang sedang berjalan menghadapi kesukaran mencapai lokasi kejadian akibat jurang yang dalam, menurut polis. (Gambar AFP)
LIMA:
Seramai 25 orang terbunuh dan 13 lagi cedera selepas sebuah bas penumpang terjunam ke dalam gaung sedalam 300m di utara Peru pada Ahad malam, menurut pihak berkuasa.

Bas antara negeri itu membawa 50 penumpang apabila kejadian itu berlaku, kira-kira 10.10 malam waktu tempatan di lebuh raya Celendin, di jabatan Cajamarca, menurut ketua polis wilayah Celendin, Hugo Uriarte, lapor Xinhua.

Beliau berkata, bas itu berlepas dengan 35 penumpang tetapi mengambil lebih ramai penumpang di sepanjang perjalanan.

Operasi menyelamat yang sedang berjalan menghadapi kesukaran mencapai lokasi kejadian akibat jurang yang dalam, kata Uriarte.

Ketua Komunikasi Celendin Jaime Herrera memberitahu TV Peru, bas itu terdampar di Sungai Sendamal, menyebabkan beberapa penumpang hanyut dibawa arus.

Antara mangsa yang terselamat termasuk pemandu bas itu, yang mengalami kecederaan serius dan telah dibawa ke hospital.

Pihak berkuasa sedang mengumpulkan maklumat daripada mangsa yang terselamat untuk menentukan punca kemalangan.

Dalam kenyataan, Bandar Celendin menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh.

Tempoh berkabung selama 72 jam turut diisytiharkan bagi seluruh wilayah itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.