Kate Middleton sahkan jalani rawatan kanser

Kate Middleton sahkan jalani rawatan kanser

Puteri Wales mendedahkan beliau didiagnos menghidap kanser selepas menjalani pembedahan abdomen pada Januari.

Puteri Wales Kate Middleton sebelum ini dimasukkan ke Klinik London pada 16 Jan untuk pembedahan abdomen. (Gambar AP)
LONDON:
Puteri Wales Kate Middleton pada Jumaat, mengumumkan bahawa beliau sedang menjalani rawatan kemoterapi untuk kanser.

Dalam mesej video yang dirakam di Windsor oleh BBC, Kate mendedahkan beliau didiagnos menghidap kanser selepas menjalani pembedahan abdomen pada Januari, lapor Agensi Anadolu (AA).

“Berita ini sangat mengejutkan, William dan saya telah melakukan segala yang kami mampu untuk menguruskannya secara peribadi demi keluarga kami,” katanya.

Selepas berminggu-minggu spekulasi mengenai kesihatannya, puteri itu menyatakan bahawa beliau dan suaminya, Putera William, memerlukan masa untuk menjelaskan keadaan kepada anak-anak mereka.

“Puteri Wales mendapat kasih sayang dan sokongan seluruh negara ketika menjalani pemulihannya,” kata Perdana Menteri Britain Rishi Sunak.

Puteri berusia 42 tahun itu dimasukkan ke Klinik London pada 16 Jan untuk pembedahan abdomen.

Pada awal Januari, Istana Kensington mengumumkan bahawa Puteri Wales akan berada di hospital selama 14 hari selepas menjalani pembedahan abdomen yang dirancang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.