
PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU: Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres bimbang dengan laporan serangan udara tentera di Myanmar, termasuk di bandar Minbya pada Isnin yang membunuh serta mencederakan ramai orang awam, kata seorang jurucakap badan dunia itu.
Myanmar dilanda pergolakan sejak rampasan kuasa oleh tentera daripada kerajaan pilihan rakyat pada 2021.
“Perluasan konflik di negeri Rakhine menyebabkan penduduk terpaksa berpindah dan memburukkan lagi kerentanan serta diskriminasi sedia ada. Setiausaha agung menggesa semua pihak mengelakkan ketegangan kaum berterusan.”
Rohingya berdepan penganiayaan di Myanmar yang majoriti penduduknya beragama Buddha selama berdekad dan hampir sejuta daripadanya tinggal di kem Cox’s Bazar yang sesak di sempadan Bangladesh. Kebanyakannya melarikan diri daripada operasi ketenteraan pada 2017.
Pemerintah tentera Myanmar menganggap Rohingya sebagai penceroboh asing dan menafikan kewarganegaraan buat mereka.
Radio Free Asia melaporkan 23 maut, manakala 30 lagi cedera pada Jumaat apabila sebuah jet pejuang menjatuhkan bom di Thar Dar, sebuah perkampungan yang kebanyakannya etnik Rohingya kira-kira 5km di utara Minbya.
Reuters tidak dapat mengesahkan laporan itu.