1 tentera ditemukan maut, 1 lagi hilang di Pulau Mataking

1 tentera ditemukan maut, 1 lagi hilang di Pulau Mataking

Tentera yang maut ditemukan tidak sedarkan diri di kawasan pantai sebelum disahkan meninggal dunia.

tentera pantai
Seorang lagi anggota tentera masih hilang sejak semalam ketika penugasan Pos Gabungan PDRM-ATM, Pulau Mataking, Semporna. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang anggota tentera ditemukan maut, manakala seorang lagi masih hilang ketika penugasan di Pos Gabungan PDRM-ATM, Pulau Mataking, Semporna, semalam.

Harian Metro memetik sumber, berkata kedua anggota itu didapati tidak berada dalam barisan semasa semakan rutin.

Operasi pencarian digerakkan dengan bantuan semua anggota tentera di lokasi sebelum mendapatkan bantuan bot daripada pihak resort berhampiran.

Sumber dilaporkan sebagai berkata, pada 9.25 malam, pasukan pencari menemui seorang anggota, Muhammad Irfan Haiqal Abdullah, 20, dalam keadaan tidak sedarkan diri di kawasan pantai pulau tersebut.

“Pasukan perubatan resort segera memberikan bantuan pernafasan (CPR), namun mangsa disahkan meninggal dunia,” kata laporan itu lagi.

Mayat anggota itu dibawa ke Hospital Semporna untuk tindakan lanjut.

Seorang lagi anggota, Muhammad Zulkarnain Jaffar, 27, masih hilang dan usaha pencarian sedang diteruskan dengan bantuan bot tentera serta bot resort sekitar kawasan Pulau Mataking, kata sumber berkenaan.

Menurut laporan itu, kedua anggota berkenaan daripada Batalion Ke-5 Rejimen Askar Melayu Diraja (5 RAMD) dan ditempatkan di Kompeni C, Kem Batu 3, Kluang, Johor.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Semporna Jaafar Hakim mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian.

“Setakat ini, siaran media belum dapat dikeluarkan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.