Rempuhan berdarah sambutan Halloween, 2 polis Korea Selatan didakwa

Rempuhan berdarah sambutan Halloween, 2 polis Korea Selatan didakwa

Park Sung-min dan Kim Jin-ho pegawai polis pertama dihukum berhubung kejadian pada Oktober 2022 itu.

Park Sung-min dan Kim Jin-ho dipenjara kerana memusnahkan laporan polis mengenai aduan keselamatan ketika sambutan Halloween di Itaewon pada 2022. (Gambar AP)
SEOUL:
Mahkamah Korea Selatan menghukum dua pegawai polis kanan hari ini kerana memusnahkan bukti berkait dengan rempuhan berdarah ketika sambutan Halloween di Seoul pada 2022.

Dua pegawai itu, Park Sung-min dan Kim Jin-ho pegawai polis pertama dihukum berhubung nahas itu, yang meragut nyawa hampir 160 mangsa.

Dalam kejadian itu, puluhan ribu orang, kebanyakannya berusia 20-an dan 30-an, keluar menikmati sambutan pascapandemik pertama di Itaewon, yang terkenal sebagai kawasan hiburan.

Malangnya tragedi berlaku selepas terlalu banyak orang mengerumuni laluan sempit antara pelbagai kelab malam dan bar di situ menyebabkan rempuhan yang membunuh hampir 160 orang.

Dua bekas pegawai polis itu dipenjara kerana mengarahkan empat laporan polis dalaman dimusnahkan selepas nahas berlaku. Laporan itu mengenal pasti aduan awal mengenai kemungkinan berlaku kesesakan di kawasan berkenaan.

Mahkamah Daerah Seoul Barat memerintahkan Park, bekas pegawai risikan di Agensi Polis Metropolitan Seoul, dipenjara setahun setengah; manakala Kim, bekas pegawai risikan di Balai Polis Yongsan, dipenjara setahun dengan hukuman berkenaan ditangguhkan untuk tiga tahun.

“Defendan sepatutnya bekerjasama secara aktif dengan siasatan, dan memelihara data sedia ada. Sebaliknya mereka memadam atau memusnahkan laporan dalaman yang ditulis sebelum kejadian, seterusnya menghapuskan bahan bukti,” menurut mahkamah.

Park dan Kim adalah pegawai polis pertama disabitkan bagi nahas Itaewon itu.

Pada Januari lalu, ketua Agensi Polis Metropolitan Seoup Kim Kwang-ho didakwa atas tuduhan kecuaian profesional.

Beberapa pegawai di peringkat daerah juga telah didakwa berkait nahas itu, tetapi tiada anggota kerajaan terkemuka yang meletak jawatan atau didakwa, walaupun dikecam hebat keluarga mangsa sebagai tidak bertanggungjawab.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.