
Walaupun ia kemenangan pertama mereka dalam sejarah pusingan akhir Piala Asia, namun ia cukup untuk Palestin menempah slot ke peringkat 16 terakhir, selepas muncul satu daripada empat pasukan terbaik di tempat ketiga.
Penyerang Oday Dabbagh muncul pemain paling menonjol dengan menjaringkan dua gol, manakala Zeid Qunbar menyumbang satu gol, membolehkan Palestin menduduki tempat ketiga Kumpulan C dengan kutipan empat mata.
Iran mengungguli Kumpulan C selepas mengalahkan Emiriah Arab Bersatu (UAE) 2-1, yang berada di kedudukan kedua, mengatasi Palestin dengan perbezaan jaringan.
Palestin mempamerkan permainan agresif sejurus babak pertama bermula dan Dabbagh hampir membolosi gawang lawan pada minit keempat, selepas menerima umpanan Mus’ab Al Battat, namun cubaannya berjaya ditepis pertahanan Hong Kong, Oliver Gerbig.
Hong Kong cuba membalas serangan menerusi percubaan Yue Tze Nam dan Everton Camargo, namun Palestin meneruskan penguasaan sebelum tandukan Dabbagh menyempurnakan hantaran lintang Al Battat singgah ke gawang lawan, sekali gus meletakkan pasukannya mendahului pada minit ke-12.
Palestin meneruskan tekanan terhadap lawan dan memperoleh gol kedua pada minit ke-48 menerusi Qunbar yang menanduk kemas hantaran lintang Al Battat, sebelum Dabbagh menjaringkan gol keduanya, yang juga gol kemenangan Palestin pada minit ke-85.
Pada hujung perlawanan, Hong Kong dihadiahkan sepakan penalti selepas pemeriksaan sistem video bantuan pengadil (VAR), namun Everton gagal menyempurnakannya dengan baik, sekali gus memberi peluang Palestin mencipta sejarah layak ke pusingan kalah mati buat pertama kali selepas tiga percubaan.
Dalam satu lagi aksi Kumpulan C, dua jaringan pemain tengah Mehdi Taremi membolehkan Iran mengatasi UAE 2-1 di Stadium Education City.
Gol pertama Iran muncul pada minit ke-25, apabila Taremi memanfaatkan hantaran cantik Sardar Azmoun.
Iran hampir selesa dengan jaringan kedua pada minit ke-33, namun gol Ali Gholizadeh tidak dikira kerana ofsaid selepas pemeriksaan VAR.
Pada babak kedua, Azmoun hampir menambah jaringan buat Iran, namun sepakannya tersasar sebelum Taremi meletakkan Iran selesa dengan gol kedua pada minit ke-65.
UAE berjaya mengurangkan defisit menerusi gol sagu hati Yahya Al Ghassani pada masa tambahan.