Menteri pengangkutan Singapura mengaku tak salah 27 tuduhan

Menteri pengangkutan Singapura mengaku tak salah 27 tuduhan

Biro antirasuah Singapura menyiasat S Iswaran sejak penahanannya pada Julai 2023.

Menteri Pengangkutan Singapura, S Iswaran berdepan 27 pertuduhan, dengan 26 daripadanya membabitkan rasuah. (Gambar Facebook)
SINGAPURA:
Menteri Pengangkutan Singapura, S Iswaran didakwa di mahkamah atas kes rasuah, lapor media tempatan hari ini.

Biro antirasuah republik itu menyiasat Iswaran sejak penahanannya pada Julai 2023, manakala Perdana Menteri, Lee Hsien Loong mengarahkannya bercuti dan melarangnya meninggalkan Singapura.

Iswaran berdepan 27 pertuduhan, termasuk 24 pertuduhan mendapat suapan sebagai penjawat awam, dua dakwaan rasuah dan satu dakwaan menghalang proses keadilan, lapor Channel News Asia sambil menambah Iswaran mengaku tidak bersalah.

Rakaman media tempatan menunjukkan Iswaran tiba di mahkamah pada Khamis sambil ditemani peguamnya.

Kes itu membelenggu Singapura, hab kewangan terkemuka Asia yang bangga memiliki kerajaan bersih, di mana rasuah dan skandal membabitkan pemimpin politik jarang berlaku.

Penjawat awam di negara itu dibayar gaji lumayan supaya tidak rasuah, di mana gaji tahunan ramai menteri Kabinet melebihi SGD1 juta (USD744,490.77).

Ong Beng Seng.

Iswaran, 61, menyertai Kabinet Lee sebagai menteri junior pada 2006 dengan memegang portfolio perdagangan dan komunikasi, sebelum dilantik menteri pengangkutan pada Mei 2021.

Taikun hartanah, Ong Beng Seng turut ditahan Julai lalu sebagai sebahagian siasatan rasuah.

Kes rasuah terakhir membabitkan menteri berlaku pada 1986, ketika menteri pembangunan negara itu disiasat atas dakwaan menerima suapan. Menteri terbabit meninggal dunia sebelum dihadapkan ke mahkamah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.