Pesawat laga sayap di lapangan terbang Jepun

Pesawat laga sayap di lapangan terbang Jepun

Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian melibatkan pesawat Korean Air Lines dan Cathay Pacific Airways itu.

Laporan media Jepun bercanggah sama ada terdapat penumpang dalam pesawat Cathay Pacific berkenaan. (Gambar AP)
TOKYO:
Dua pesawat Korean Air Lines dan Cathay Pacific Airways berlaga sayap akibat keadaan bersalji, di Lapangan Terbang New Chitose di Hokkaido, utara Jepun.

Tiada kecederaan dilaporkan, menurut laporan media tempatan.

Pesawat Korean Air membawa 289 penumpang dan anak kapal, menurut pegawai syarikat penerbangan itu.

Laporan media Jepun bagaimanapun bercanggah sama ada pesawat Cathay Pacific itu membawa sebarang penumpang.

Kejadian berlaku akibat sebuah kereta penunda tergelincir atas salji, ketika menolak pesawat Korean Air itu ke belakang sebelum waktu penerbangannya.

Akibatnya sayap kiri pesawat itu berlaga dengan hujung sayap kanan pesawat Cathay Pacific berkenaan, kata pegawai penerbangan Korean Air itu.

Katanya, penilaian awal Korean Airlines menyatakan kejadian berlaku akibat pekerja yang menunda pesawat berkenaan dalam keadaan salji tebal.

Jurucakap lapangan terbang tidak dapat dihubungi untuk mengulas perkara itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.