Lindung kapal komersial, Itali kerah kapal perang ke Laut Merah

Lindung kapal komersial, Itali kerah kapal perang ke Laut Merah

Kapal frigat tentera laut Itali digerakkan bagi mengekang tindakan lanun dan rompakan bersenjata.

Laut Merah antara laluan laut paling kerap digunakan di dunia untuk penghantaran minyak dan bahan api. (Gambar Facebook)
ATHENS:
Itali akan menghantar kapal perang ke Laut Merah berikutan beberapa kapal komersial dilaporkan diserang, lapor Agensi Anadolu (AA) memetik Agensi Berita ANSA.

Kapal frigat tentera laut Itali Virgilio Fasan yang sepatutnya dihantar pada Feb 2024 untuk menyokong Operasi Atalanta Kesatuan Eropah (EU) untuk menghalang dan mengganggu tindakan lanun dan rompakan bersenjata di selatan Laut Merah, Teluk Aden, dan Lautan Hindi, kini dijadual akan melalui Terusan Suez pada 24 Dis.

Laporan itu menyatakan bahawa keputusan itu dibuat selepas Menteri Pertahanan Itali Guido Crosetto mengadakan sidang video dengan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS) Lloyd Austin.

Austin pada Isnin mengumumkan penubuhan pasukan petugas tentera laut multinasional untuk menangani tindakan Houthi yang didakwa mengganggu kapal komersial di Laut Merah.

Laut Merah merupakan antara laluan laut yang paling kerap digunakan di dunia untuk penghantaran minyak dan bahan api.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.