Perolehan aset tentera hanya diketahui selepas RMK-13, kata menteri

Perolehan aset tentera hanya diketahui selepas RMK-13, kata menteri

Kerajaan dalam peringkat akhir menilai cadangan perolehan melibatkan aset strategik Kementerian Pertahanan.

Menteri Pertahanan Khaled Nordin dalam sidang media selepas merasmikan inisiatif pendidikan Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera 2025 di Royale Chulan, Kuala Lumpur.
KUALA LUMPUR:
Perolehan baru aset ketenteraan dirancang kerajaan hanya akan dimuktamadkan selepas pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).

Menteri Pertahanan, Khaled Nordin, berkata kerajaan akan menilai cadangan perolehan melibatkan aset strategik kementerian namun kelulusan akhir tertakluk kepada RMK-13.

“Jadi, kena tunggu 31 Julai..kita dah mohon dan memerlukan kerajaan bersetuju.

“Aset-aset kita amat penting dalam proses kita membina angkatan masa hadapan yang selari pemodenan angkatan tentera kita,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan inisiatif pendidikan Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera 2025 di Royale Chulan.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Malaysia berhasrat membeli pesawat pemantau maritim, helikopter dan kapal laut dari Itali bagi memperkukuh keselamatan negara.

Anwar berkata, pembelian itu akan meliputi dua pesawat pemantau maritim (maritime patrol aircraft) untuk kegunaan tentera laut selain 28 helikopter Leonardo AW149.

Katanya, syarikat Fincantieri pula dijangka membekalkan kapal sokongan logistik pelbagai peranan (multi-role support ship) (MRSS) dan kapal peronda pesisir pantai (littoral mission ship) (LMS).

Mengulas perkara itu, Khaled berkata lawatan perdana menteri ke Itali membuka ruang kerjasama lebih luas apabila negara itu dan Perancis menyatakan kesediaan menawarkan kemudahan kewangan untuk menyokong perolehan Malaysia.

“Maknanya mereka bersedia untuk kemudahan-kemudahan kewangan supaya soal kekangan kewangan tidak mengehadkan kita untuk melakukan pemodenan atau perolehan aset-aset tentera,” katanya.

Khaled turut menjelaskan tumpuan utama kerajaan ialah memastikan setiap perolehan dibuat secara antara kerajaan (G2G), bagi memastikan harga lebih telus dan kompetitif.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.