Flu, jangkitan Covid meningkat di AS

Flu, jangkitan Covid meningkat di AS

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit melaporkan hampir 1,000 kematian direkodkan untuk minggu berakhir 25 Nov.

Jumlah diuji positif Covid dan dimasukkan ke hospital dengan simptom teruk semakin meningkat di Amerika Syarikat. (Gambar Bernama)
LOS ANGELES:
Amerika Syarikat mencatatkan peningkatan jangkitan flu dan Covid-19 di seluruh negara selain peningkatan penyakit berkaitan pernafasan terutama dalam kalangan kanak-kanak.

Bilangan mereka yang diuji positif Covid dan dimasukkan ke hospital dengan simptom teruk, semakin meningkat.

Kira-kira 10% ujian Covid-19 yang dilaporkan kepada Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC) adalah positif pada minggu terbaru yang berakhir pada 25 Nov, mengikut data CDC, lapor Xinhua.

Ketibaan pesakit didiagnosis Covid-19 ke jabatan kecemasan meningkat lebih daripada 10% dalam minggu terkini berbanding minggu sebelumnya.

Kemasukan ke hospital akibat Covid hampir mencecah 20,000 untuk minggu yang berakhir pada 25 Nov atau lonjakan sebanyak 10%, menurut data CDC.

Covid terus merekodkan kemasukan ke hospital dan kematian bagi penyakit berkaitan pernafasan – dengan kira-kira 15,000 dimasukkan ke hospital dan kira-kira 1,000 kematian setiap minggu, kata Pengarah CDC, Mandy Cohen.

Sementara itu, kadar flu juga semakin meningkat, dengan kadar positiviti ujian sebanyak 6% di seluruh negara dan 4,268 kemasukan ke hospital untuk minggu yang berakhir pada 25 Nov, menurut data CDC.

Menurut data CDC, lapan kanak-kanak dan kira-kira 1,100 orang dewasa meninggal dunia disebabkan oleh penyakit berkaitan flu sepanjang musim ini.

Aktiviti influenza bermusim terus meningkat di kebanyakan bahagian negara itu terutama di kawasan Selatan Tengah, Tenggara, Gunung dan Pantai Barat, kata CDC dalam laporan mingguan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.