Mahkamah Korea arah bayaran pampasan untuk hamba seks zaman perang

Mahkamah Korea arah bayaran pampasan untuk hamba seks zaman perang

Enam belas mangsa itu memfailkan saman pada 2016 terhadap Jepun, dengan menuntut pampasan 200 juta won.

Lee Yong-soo, 95. Antara 16 wanita yang dipaksa menjadi hamba seks ketika Korea ditawan Jepun semasa era penjajahannya. (Gambar AFP)
SEOUL:
Mahkamah Tinggi Korea Selatan hari ini mengarahkan Jepun membayar pampasan kepada 16 wanita yang dipaksa menjadi hamba seks ketika era penjajahannya.

Legasi penjajahan Jepun di semenanjung Korea dari 1910-1945 masih menjadi isu politik sensitif bagi kedua-dua pihak, dengan ramai wanita yang menjadi hamba seks – atau digelar “comfort women” oleh Jepun – masih mendesak permohonan maaf dan bayaran pampasan daripada Tokyo.

Kementerian Luar Jepun tidak mengulas keputusan mahkamah itu.

Hubungan dua hala antara dua sekutu AS itu terkesan selama bertahun-tahun akibat isu jenayah seksual dan buruh paksa ketika zaman perang, tetapi Presiden Korea Selatan Yoon Suk Yeol dan Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida berusaha membaiki keadaan.

Enam belas mangsa itu memfailkan saman pada 2016 dengan menuntut pampasan 200 juta won setiap seorang.

Bagaimanapun, mahkamah daerah di Seoul menolak saman itu pada 2021 atas dasar kekebalan berdaulat, iaitu doktrin perundangan yang mengecualikan sebuah negara daripada saman sivil oleh mahkamah asing.

Mahkamah Tinggi Seoul bagaimanapun menterbalikkan keputusan berkenaan dengan mengiktiraf bidang kuasa mahkamah Korea Selatan terhadap kerajaan Jepun sebagai defendan.

“Munasabah untuk mempertimbangkan bahawa wujud undang-undang antarabangsa yang tidak mengiktiraf sesebuah negara kebal atas perbuatan yang menyalahi perundangan… tidak kira sama ada perbuatan itu adalah tindakan berdaulat,” menurut kenyataan mahkamah rayuan itu.

Mahkamah turut berkata kes berkenaan jatuh dalam bidang kuasa Korea Selatan kerana plaintif tinggal di negara itu, dan menuntut pampasan bagi tindakan yang dianggap “menyalahi undang-undang” menurut perundangan sivilnya.

Tokyo berkata isu itu diselesaikan menerusi triti pada 1965 yang menormalisasikan hubungan diplomatik, dan dua negara jiran itu bersetuju menamatkan perbalahan berkenaan pada 2015.

Lee Yong-soo, aktivis dan mangsa berusia 95 tahun yang juga antara plaintif kes itu, mengalu-alukan keputusan berkenaan dan mengucapkan terima kasih kepada mahkamah atas penghakimannya.

“Saya bersyukur. Saya sangat bersyukur,” katanya sebak ketika meninggalkan bangunan mahkamah, dengan menambah terkilan tidak dapat mengongsikan berita baik itu bersama mangsa lain yang telah meninggal dunia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.