Serangan Israel ke atas hospital korban 509 rakyat Palestin

Serangan Israel ke atas hospital korban 509 rakyat Palestin

Israel melakukan 229 serangan ke atas hospital di Gaza dan Tebing Barat sejak 7 Okt.

Banyak hospital di utara Gaza telah dikosongkan dengan beberapa lagi dihenti operasi antaranya kerosakan akibat pengeboman Israel. (Gambnar AP)
BAITULMUQADDIS:
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan bahawa serangan Israel terhadap kemudahan penjagaan kesihatan di wilayah Palestin diduduki mengakibatkan kematian 509 penduduk, termasuk pesakit dan kakitangan penjagaan kesihatan, selain mencederakan 447 lain.

Israel telah melakukan 229 serangan ke atas hospital dan pusat penjagaan kesihatan di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat sejak 7 Okt, lapor Agensi Anadolu memetik Sistem Pengawasan mengenai Serangan terhadap Penjagaan Kesihatan (SSA) WHO.

WHO menggesa supaya “orang awam dan tempat-tempat penjagaan kesihatan dilindungi secara aktif,” katanya dalam hantaran di X.

Terdapat 34 hospital di Gaza, dengan kira-kira 13 daripadanya mempunyai kapasiti 2,000 katil dan diurus secara langsung oleh Kementerian Kesihatan.

Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan kepada lebih 70% penduduk di wilayah yang terkepung.

Beberapa kemudahan penjagaan kesihatan juga diurus oleh agensi atau organisasi kerajaan seperti Bulan Sabit Merah Palestin dan Persatuan Bantuan Perubatan Palestin.

Selain banyak poliklinik dan pusat perubatan di bawah Kementerian Kesihatan di Semenanjung Gaza, pertubuhan amal juga menyediakan perkhidmatan perubatan penting di kawasan kediaman.

Banyak hospital di utara Gaza telah dikosongkan. Beberapa hospital terpaksa menghentikan operasi mereka kerana kerosakan akibat pengeboman Israel atau kekurangan bahan api.

Pada 5 Nov, sekumpulan doktor Israel mengeluarkan kenyataan mendakwa Hospital Shifa di Semenanjung Gaza yang dikepung, merupakan pangkalan “kumpulan bersenjata Palestin” dan menggesa pengebomannya.

Sebelum ini, kenyataan ditandatangani 47 rabbi juga menyokong pengeboman Hospital Shifa berdasarkan dakwaan yang sama.

Menurut Pejabat Media kerajaan Gaza, akibat serangan Israel ke atas Semenanjung Gaza, 16 hospital telah menghentikan operasi mereka sepenuhnya, manakala 18 hospital lagi hanya beroperasi sebahagian.

Hospital yang tidak lagi beroperasi termasuk Turkish Friendship Hospital (satu-satunya hospital yang merawat pesakit kanser di Gaza), Beit Hanoun Hospital, Hospital al-Wafa untuk pembedahan dan pemulihan perubatan khusus,

Selain itu, turut ditutup Hospital Bantuan Awam, Hospital Amal Rakan Pesakit, al- Karama, Hospital Haifa, Hospital Mata Antarabangsa, Hospital Psikiatri, Hospital Kanak-kanak al-Durrah, Hospital Pemulihan dan Prostetik Hamad, Hospital Amal Dar al-Salaam, Hospital al-Yemen al-Saeed, Hospital Mata Saint John, Hospital Pakar al-Hayat, dan Hospital Perubatan Khusus Yafa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.