
Erin Patterson, 49, didakwa atas tiga tuduhan membunuh dan lima cubaan membunuh, menurut dokumen mahkamah.
Tertuduh tidak memohon ikat jamin, dan kes itu akan dibicarakan seterusnya pada Mei tahun depan. Patterson sebelum ini menafikan salah laku.
Don Patterson dan isterinya, Gail; serta saudara Gail, Heather Wilkinson jatuh sakit sebelum meninggal dunia selepas makan tengah hari pada 29 Julai di Leongatha, sebuah bandar kecil kira-kira 135km tenggara Melbourne.
Media tempatan melaporkan Don dan Gail Patterson ialah ibu bapa kepada bekas suami Erin Patterson, Simon, yang turut makan tengah hari bersama.
Dalam dokumen mahkamah, Simon disenaraikan sebagai antara mangsa dalam empat tuduhan cubaan membunuh, termasuk tiga kejadian berasingan pada 2021 dan 2022.
Mangsa terbabit dalam tuduhan kelima, Ian, iaitu suami Wilkinson yang juga seorang paderi, sakit teruk selepas menghadiri jamuan itu, namun dibenarkan keluar dari hospital pada September.
Pada Ogos, polis berkata, simptom dialami mangsa konsisten dengan keracunan disebabkan cendawan. Detektif Dean Thomas memberitahu sidang akhbar pada Khamis bahawa siasatan diteruskan.
Kematian akibat memakan cendawan bukan sesuatu yang lazim berlaku di Australia, yang mempunyai beberapa spesies cendawan, termasuk “death cap” yang cukup berbahaya sehingga boleh membunuh manusia.