Pihak berperang di Sudan sambung semula rundingan damai

Pihak berperang di Sudan sambung semula rundingan damai

Angkatan Tentera Sudan dan Rapid Support Forces (RSF) akan menyambung semula rundingan itu pada Khamis di Arab Saudi.

Rundingan antara Angkatan Tentera Sudan dan RSF tertumpu isu kemanusiaan selain penghantaran bantuan ke zon perang sejak perang tercetus pada April lalu. (Gambar AP)
KHARTOUM:
Angkatan Tentera Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) akan menyambung semula rundingan damai pada minggu ini di bandar pelabuhan Jeddah, Arab Saudi.

Langkah itu diambil selepas delegasi SAF pada Julai menarik diri daripada rundingan yang ditaja Amerika Syarikat dan Arab Saudi, menurut Agensi Anadolu.

Anggota Sovereign Council Sudan, Shams Aldin Alkabashi berkata tentera telah menerima jemputan rasmi daripada perantara dan mengesahkan bahawa perbincangan akan disambung semula pada Khamis.

“Rundingan akan dimulakan dengan isu-isu kemanusiaan, termasuk penghantaran bantuan ke zon perang.

“Fasa kedua pula akan melibatkan perbincangan mengenai gencatan senjata manakala fasa terakhir menyentuh isu politik untuk menamatkan perang di negara ini,” katanya.

Ribuan orang telah terbunuh, manakala ratusan ribu lagi cedera sejak perang antara SAF dan RSF meletus pada 15 Apr.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.