Budak ditikam 26 kali di AS akibat agama, perang Israel-Hamas

Budak ditikam 26 kali di AS akibat agama, perang Israel-Hamas

Pegawai berkata, kanak-kanak enam tahun itu menjadi sasaran kerana beragama Islam dan tindak balas terhadap konflik Israel-Hamas.

Wadea Al-Fayoume ditikam 26 kali dengan pisau ala tentera. (Gambar CAIR National/Twitter)
CHICAGO:
Seorang lelaki Illinois didakwa atas tuduhan jenayah kebencian kerana menikam seorang kanak-kanak beragama Islam sehingga maut dan mencederakan ibunya hanya disebabkan agama mereka serta tindak balas terhadap perang Israel dan Hamas, kata pegawai serta aktivis hak asasi manusia Muslim pada Ahad.

Kanak-kanak lelaki enam tahun itu ditikam 26 kali dengan pisau bergerigi ala tentera 18cm, manakala ibunya berusia 32 tahun parah dengan beberapa kesan tikaman dalam serangan di Perbandaran Plainfield, kira-kira 64km barat daya Chicago, Sabtu lalu.

“Detektif mendapati kedua-dua mangsa serangan kejam ini menjadi sasaran suspek kerana mereka beragama Islam serta konflik berterusan Timur Tengah membabitkan Hamas dan Israel,” kata Pejabat Syerif Daerah Will dalam kenyataan.

Joseph Czuba, 71, akan menghadapi tuduhan membunuh tahap pertama, cubaan membunuh tahap pertama, dua tuduhan jenayah kebencian serta serangan menggunakan senjata maut, kata pejabat syerif.

Czuba sedang ditahan sementara menunggu dihadapkan ke mahkamah.

Lelaki itu tidak memberi sebarang keterangan kepada detektif, tetapi polis berkata, pihak berkuasa akan melakukan pendakwaan berdasarkan temu bual dan bukti.

Setibanya polis di tempat kejadian, mereka mendapati Czuba sedang duduk di luar rumah mangsa dengan luka di dahinya, manakala mangsa berada dalam sebuah bilik tidur.

Majlis Hubungan Amerika-Islam (CAIR) mengenal pasti kanak-kanak itu sebagai Wadea Al-Fayoume dan ibunya, Hanaan Shahin.

“Retorik Islamofobia dan perkauman anti-Palestin yang disebarkan ahli politik, saluran media dan platform media sosial perlu dihentikan,” kata CAIR di platform X.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.