
Melalui undian secara sulit, Burundi, Cote d’Ivoire, Ghana, Malawi (untuk Afrika); China, Indonesia, Jepun, Kuwait (Asia-Pasifik); Albania, Bulgaria (Eropah Timur); Brazil, Cuba, Republik Dominican (Amerika Latin dan Caribbean); dan Perancis, Belanda (Eropah Barat dan negara lain) telah dipilih, lapor Xinhua.
Rusia dalam kumpulan Eropah Timur dan Peru di Amerika Latin dan kumpulan Caribbean kecundang dalam bidaan.
Rusia gagal melepasi 97 undian yang diperlukan, manakala Peru yang menerima 108 undi menyokong gagal mengatasi tiga pencabar lain dalam kumpulan itu.
Calon dalam kumpulan Afrika, Asia-Pasifik, Eropah Barat dan negeri-negeri lain menang selesa tanpa dicabar. Sementara itu, China, Cote d’Ivoire, Cuba, Perancis dan Malawi dipilih semula.
Sebanyak 10 negara akan meninggalkan Majlis Hak Asasi Manusia menjelang akhir tahun, iaitu Gabon, Senegal (untuk Afrika); Nepal, Pakistan, Uzbekistan (Asia-Pasifik); Republik Czech, Ukraine (Eropah Timur); Bolivia, Mexico (Amerika Latin dan Caribbean); serta Britain (Eropah Barat dan negara lain).
Majlis Hak Asasi Manusia PBB yang berpangkalan di Geneva ialah badan antara kerajaan yang bertanggungjawab mempromosikan dan melindungi hak asasi manusia di seluruh dunia.
Kira-kira satu pertiga daripada 47 ahlinya diganti setiap tahun bagi memastikan ahli majlis dapat berkhidmat secara berperingkat sepanjang tempoh tiga tahun.
Pembahagian kerusi majlis itu berdasarkan kumpulan serantau, iaitu 13 setiap satu untuk Afrika dan Asia-Pasifik; lapan untuk Amerika Latin dan Caribbean; tujuh untuk Eropah Barat dan negara lain; dan enam untuk Eropah Timur.