Datuk bandar antara 12 umat Islam AS saman DoJ

Datuk bandar antara 12 umat Islam AS saman DoJ

Mereka menyaman Jabatan Kehakiman bagi mengeluarkan nama mereka daripada senarai pemantauan rahsia FBI.

Datuk Bandar Prospect Park New Jersey, Mohamed Khairullah yang tidak dipelawa dalam sambutan Aidilfitri Rumah Putih Mei lalu antara 12 umat Islam AS menyaman Jabatan Kehakiman. (Gambar Facebook)
WASHINGTON:
Sekumpulan 12 orang Islam Amerika, termasuk Datuk Bandar New Jersey, menyaman Jabatan Kehakiman (DoJ) pada Isnin bagi mengeluarkan nama mereka daripada senarai pemantauan rahsia FBI, yang disifatkan mereka sebagai “daftar Islam de facto”.

Menurut saman yang difailkan di Mahkamah Daerah AS di Massachusetts itu, kerajaan persekutuan “menghukum” plaintif menjadi “warganegara kelas kedua seumur hidup” dengan meletakkan mereka dalam pangkalan data saringan pengganas.

Plaintif mendakwa mengalami kemudaratan, termasuk penghinaan awam, pengawasan, gangguan dalam perjalanan, penafian pekerjaan dan “diasingkan secara berkesan dari AS”, selain ia merupakan “daftar Islam de facto” dengan lebih 98% daripada individu dalam senarai itu merupakan umat Islam, lapor Agensi Anadolu.

Menurut saman itu, walaupun selepas seseorang dikeluarkan daripada senarai terbabit, mereka mengalami kesan memudaratkan seumur hidup.

Ia menamakan Peguam Negara Merrick Garland, Pengarah FBI Christopher Wray, Pengarah Perkhidmatan Rahsia AS Kimberly Cheatle, Penolong Peguam Negara bagi Bahagian Keselamatan Negara Matthew Olsen, Pengarah Perisikan Kebangsaan Avril Haines dan lain-lain sebagai defendan bersama.

Plaintif termasuk Datuk Bandar Prospect Park New Jersey Mohamed Khairullah, yang tidak dipelawa dalam sambutan Aidilfitri Rumah Putih pada saat-saat akhir Mei lalu; Michael Migliore, umat Islam AS tinggal di Arab Saudi; Nidal El-Takach, penduduk Michigan dan sembilan individu lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.