Terusan Panama sesak akibat kemarau

Terusan Panama sesak akibat kemarau

Sebanyak 126 kapal kargo dilaporkan tersekat kerana menunggu kebenaran untuk masuk yang terlalu lama.

Terusan Panama sepanjang 80km adalah laluan air paling penting di dunia yang menghubungkan lautan Atlantik dan Pasifik dengan merentasi Amerika Tengah. (Gambar Wikipedia)
MEXICO CITY:
Pihak Berkuasa Terusan Panama (ACP) pada Jumaat berkata masa menunggu untuk transit melalui terusan itu kini dianggarkan sembilan hingga 11 hari susulan gangguan akibat kemarau berpanjangan.

Pengendali terusan itu mengehadkan laluan kapal ekoran paras air surut, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Di kedua-dua belah laluan utama perkapalan itu, 126 kapal kargo menunggu untuk dibenarkan masuk, menyebabkan tunggakan kira-kira 40% lebih berbanding keadaan biasa.

Menurut statistik ACP, masa transit pada Jun kira-kira dua setengah hari dan meningkat kepada lima hari pada Julai.
Kini, beberapa kapal kargo mungkin terpaksa menunggu sehingga 18 hari untuk melaluinya.

Terusan Panama adalah laluan air paling penting di dunia yang menghubungkan lautan Atlantik dan Pasifik dengan merentasi Amerika Tengah.

Terusan sepanjang kira-kira 80km itu bermula di Colon di utara dan berakhir berhampiran Panama City di selatan.

Kira-kira 14,000 kapal menggunakan Terusan Panama setiap tahun yang menyumbang kira-kira 6% daripada perdagangan dunia.

Laluan air itu mempunyai tiga sistem kunci dengan kapal dinaikkan ke paras Tasik Gatun, takungan buatan besar 28 meter di atas paras laut dan kemudian diturunkan semula.

Jika berlaku kekurangan hujan di rantau ini dan suhu meningkat, menyebabkan paras air Tasik Gatun surut, sekali gus menjejaskan pergerakan kapal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.