24 maut kemalangan bas di Maghribi

24 maut kemalangan bas di Maghribi

Bas berkenaan dilaporkan dalam perjalanan ke pasar mingguan sebelum terbalik ketika melalui selekoh di wilayah tengah Azilal.

Sebuah bas penumpang hilang kawalan lalu terbalik di tengah Maghribi hingga menyebabkan 24 orang penumpang terbunuh. (Gambar Twitter)
KAHERAH:
Seramai 24 penumpang terbunuh selepas sebuah bas penumpang hilang kawalan lalu terbalik di tengah Maghribi pada Ahad, Agensi Berita Jerman (dpa) memetik laporan Agensi Berita Afrika Utara, MAP.

Menurut pihak berkuasa tempatan, bas berkenaan dilaporkan dalam perjalanan ke pasar mingguan sebelum terbalik ketika melalui selekoh di wilayah tengah Azilal.

Punca nahas masih belum dapat dipastikan dan siasatan mengenai kejadian itu sedang dijalankan.

November lalu, 11 orang terbunuh manakala 43 lagi cedera apabila sebuah bas terbalik berhampiran bandar Taza di timur Maghribi.

Nahas jalan raya meragut sekurang-kurangnya 3,200 nyawa setiap tahun di Maghribi, menurut Agensi Kebangsaan bagi Keselamatan Jalan Raya negara itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.