31 maut dalam keganasan di penjara Ecuador

31 maut dalam keganasan di penjara Ecuador

Pertempuran antara geng berlaku di Penjara Penitenciaria del Litoral sejak Sabtu lalu.

Anggota polis dan tentera yang dilengkapi senjata memasuki penjara selepas kerajaan Ecuador mengisytiharkan darurat. (Gambar AP)
QUITO:
Angka korban akibat keganasan di sebuah daripada penjara paling berbahaya di Ecuador pada hujung minggu lalu meningkat kepada 31 orang semalam, dengan kerajaan mengisytiharkan darurat selama 60 hari di kemudahan itu.

Pengisytiharan itu seolah-olah mencetuskan keganasan di bandar Esmeraldas, di mana 15 pengawal penjara dan dua kakitangan lain dijadikan tebusan di sebuah penjara tempatan, kata kerajaan dalam kenyataan.

Di Esmeraldas, seunit polis diserang, bahan letupan diletakkan di stesen minyak dan beberapa kereta dibakar. Jabatan peguam negara berkata, seorang individu cedera dalam serangan bom petrol di pejabatnya di sana.

Di Guayaquil, sekurang-kurangnya 2,700 anggota polis dan tentera yang dilengkapi senjata memasuki Penjara Penitenciaria del Litoral susulan penguatkuasaan darurat 60 hari bagi mengawal tiga blok sel dengan letupan terkawal.

Pertempuran antara geng bermula Sabtu lalu di penjara itu, antara penjara paling berbahaya di Ecuador.

Pejabat pendakwa raya menaikkan angka korban kepada 18 kepada 31 orang dalam catatan Twitternya, manakala 14 lagi cedera.

Kira-kira 120 pegawai penjara dibebaskan selepas menjadi tebusan di enam penjara seluruh negara, kata kerajaan. Tiada maklumat rasmi mengenai mogok lapar yang didakwa berlaku di beberapa penjara.

Gelombang keganasan di penjara ini berlaku ketika kempen untuk pilihan raya pada 20 Ogos ini, dengan beberapa calon presiden berjanji melakukan pembaharuan penjara.

Menurut dekri ditandatangani Presiden Guillermo Lasso, banduan di Guayaquil menggunakan senjata api semasa pertempuran dan membakar kemudahan menggunakan tangki gas.

Isnin lalu, Lasso mengisytiharkan darurat di wilayah Manabi, Los Rios dan bandar Duran, selepas Datuk Bandar Manta, Agustin Intriago ditembak mati Ahad lalu.

Kerajaan berkata, campur tangan tentera di penjara Ecuador akan diteruskan sehingga keadaan terkawal dan tiada ancaman kepada banduan atau pegawai.

Lasso kerap mengisytiharkan darurat di penjara negara itu dalam usaha menangani peningkatan keganasan sejak 2021 yang meragut nyawa ratusan banduan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.