
Tiga suspek terdiri daripada seorang lelaki warga Jerman berusia 52 tahun dan dua wanita berusia 52 dan 54 tahun, lapor Bangkok Post pada Khamis, memetik penyiasat.
Suspek keempat, yang juga seorang wanita, dikatakan menyewa rumah tempat mayat mangsa ditemui.
Beberapa saluran berita tempatan melaporkan wanita itu sedang dirawat di hospital kerana kecederaan yang disyaki pihak berkuasa akibat tindakannya sendiri.
Semua suspek menafikan ada kaitan dengan kematian ahli perniagaan berusia 62 tahun itu.
Mangsa dilaporkan hilang pada 4 Julai. Mayatnya ditemui pada Isnin di dalam peti sejuk di sebuah kediaman di Nong Prue, pinggir bandar di pusat peranginan terkenal Pattaya di wilayah Chonburi.
Tiga daripada mereka yang ditahan disyaki menggergaji mayat kepada 13 bahagian sebelum menyembunyikannya dalam beg plastik, akhbar itu memetik polis.
Kematian ahli perniagaan itu dipercayai berkaitan dengan pemerasan, menurut penyiasat.
Pada Rabu, akhbar Khaosod melaporkan bahawa sejumlah 3,000,000 baht (sekitar USD87,000) telah dipindahkan daripada akaun mangsa ke 10 akaun lain.