Pembangkang Korea Selatan mahu lebih ramai pakar semak pelepasan air sisa nuklear

Pembangkang Korea Selatan mahu lebih ramai pakar semak pelepasan air sisa nuklear

Seoul baru-baru ini berkata, ia menghormati keputusan IAEA meluluskan rancangan pelepasan air sisa nuklear itu.

Jepun merancang melepaskan air radioaktif terawat dari loji janakuasa nuklear Fukushima Daiichi ke laut. (Gambar AP)
SEOUL:
Lebih banyak organisasi pakar perlu mengambil bahagian dalam mengkaji rancangan Jepun melepaskan air sisa loji janakuasa nuklear Fukushima ke laut sebagai tambahan kepada badan pemerhati nuklear Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, kata Ahli Parlimen pembangkang Korea Selatan pada Rabu ketika melawat Jepun.

Ahli Parlimen Parti Demokrat, Wi Seong-gon, antara kumpulan penggubal undang-undang dari parti pembangkang, bercakap demikian dalam satu kenyataan bersama pada sidang media di Tokyo. Kenyataan itu turut disokong lapan Ahli Parlimen Jepun.

Baru-baru ini, Seoul berkata, ia menghormati keputusan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) meluluskan rancangan Jepun melepaskan air sisa radioaktif terawat dari loji janakuasa nuklear Fukushima Daiichi yang mengalami pencairan akibat tsunami pada 2011 ke Lautan Pasifik.

Ditanya mengenai pendirian kerajaan Korea Selatan, Wi berkata, Seoul perlu membangkitkan suara rakyat bimbang dan menentang rancangan itu.

“Kami melakukan yang terbaik untuk memujuk kerajaan dan ini sebabnya kami melawat Jepun sekarang.”

Pentadbiran Presiden Yoo Suk-yeol cuba mencapai keseimbangan dalam pendiriannya terhadap rancangan pelepasan air sisa nuklear Jepun kerana ia berusaha memperbaiki hubungannya dengan Tokyo ketika menyedari kebimbangan rakyatnya terhadap rancangan negara jirannya itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.