
Mangsa yang maut dan cedera telah dipindahkan ke hospital berdekatan dan pihak yang bertanggungjawab atas pengedaran bantuan amal itu telah ditahan, kata Kementerian Dalam Negeri dalam kenyataan yang disiarkan oleh agensi berita pemberontak Saba.
Pihak berkuasa menggesa siasatan dijalankan berhubung kejadian ini.
Kementerian Dalam Negeri Huthi tidak mendedahkan jumlah mangsa yang tepat, tetapi berkata “puluhan orang terbunuh akibat rempuhan semasa pengagihan wang secara rawak oleh beberapa peniaga”.
Pengagihan bantuan amal di kawasan Bab al-Yemen, Sanaa yang dikuasai Huthi itu dibuat beberapa hari sebelum cuti sempena perayaan Aidilfitri.
Video yang tersebar di media sosial menunjukkan mayat bergelimpangan di dalam sebuah kompleks besar, dikerumuni orang ramai.
AFP tidak dapat mengesahkan kesahihan rakaman itu secara bebas.
Konflik Yaman tercetus pada 2014, apabila pemberontak Huthi yang disokong Iran merampas Sanaa, mendorong pakatan yang diketuai Arab Saudi campur tangan pada tahun berikutnya untuk menyokong kerajaan yang diiktiraf pada peringkat antarabangsa.
Pertempuran di Yaman mencetuskan apa yang disifatkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai salah satu tragedi kemanusiaan terburuk di dunia.
Lebih 21.7 juta orang – dua pertiga daripada populasi Yaman – memerlukan bantuan kemanusiaan tahun ini, menurut PBB.