
WASHINGTON: Seorang lelaki bersenjata dan empat lagi maut dalam tembakan di sebuah bank di Louisville, negeri Kentucky, Amerika Syarikat (AS) pada Isnin, menurut polis.
Lapan orang turut cedera, termasuk dua pegawai polis. Seorang daripada pegawai polis itu dalam keadaan kritikal, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Timbalan Ketua Polis Louisville, Paul Humphrey berkata, polis tiba di lokasi kejadian beberapa minit selepas menerima panggilan kecemasan.
Beliau berkata, dua pegawai polis itu cedera ketika berbalas tembakan dengan penyerang.
Ketika ini, katanya, belum jelas sama ada penyerang ditembak polis atau membunuh diri.
Menurut siasatan awal, suspek merupakan kakitangan bank itu atau pernah bekerja di sana.