
Menurut kenyataan kerajaan Sao Paulo pada Selasa, seramai 43 orang maut dalam banjir lumpur ekoran hujan lebat di bandar Sao Sebastiao dan seorang lagi di resort tepi laut di Ubatuba.
Lebih 2,400 orang dipindahkan dari kawasan berkenaan selepas rumah mereka musnah, menurut laporan rasmi.
Xinhua melaporkan tanah runtuh berlaku semasa aktiviti perayaan menyebabkan ramai pelancong terkandas kerana kebanyakan jalan dan lebuh raya menuju ke pusat peranginan tepi laut itu rosak.
Bandar yang paling terjejas dan diisytihar sebagai kawasan bencana ialah Sao Sebastiao, Ubatuba, Guaruja, Bertioga, Ilhabela dan Caraguatatuba.
Pada Isnin, Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva, yang memendekkan percutiannya dan kemudian melawat kawasan bencana itu, mengumumkan bantuan dana persekutuan untuk membina rumah di Sao Sebastiao.
Sementara itu, Dana Sosial Sao Paulo dan agensi Pertahanan Awam mula mengagihkan 7.5 tan bantuan kemanusiaan kepada mangsa.