Gempa di Turki ragut lebih 36,100 nyawa

Gempa di Turki ragut lebih 36,100 nyawa

Sekurang-kurangnya 216,347 orang dipindahkan dari kawasan dilanda gempa setakat ini.

Anggota penyelamat dan perubatan mengusung seorang mangsa cedera yang dikeluarkan dari runtuhan bangunan di Antakya, Turki. (Gambar AP)
ANKARA:
Sekurang-kurangnya 36,187 orang terbunuh akibat dua gempa bumi kuat yang menggegarkan selatan Turki minggu lepas, menurut agensi bencana negara itu pada Khamis.

Gempa bumi bermagnitud 7.7 dan 7.6 pada 6 Feb lalu yang berpusat di wilayah Kahramanmaras, menjejaskan lebih 13 juta orang di 11 wilayah, termasuk Adana, Adıyaman, Diyarbakir, Gaziantep, Hatay, Kilis, Malatya, Osmaniye, Sanliurfa dan Elazig.

Beberapa negara di rantau ini, termasuk Syria dan Lubnan turut merasai gegaran kuat yang melanda Türki dalam tempoh kurang 10 jam.

Lebih 253,000 anggota mencari dan menyelamat kini berada di lapangan, lapor Anadolu memetik kenyataan agensi pengurusan bencana dan kecemasan Turki.

Menurut agensi itu, sekurang-kurangnya 216,347 orang dipindahkan dari kawasan dilanda gempa setakat ini.

Kementerian Luar Turki hari ini berkata, seramai 7,098 anggota penyelamat asing dari 74 negara kini meneruskan tugasan di lapangan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.