Sri Lanka kekal muflis sehingga 2026 – kata presiden

Sri Lanka kekal muflis sehingga 2026 – kata presiden

Ranil Wickremesinghe memegang jawatan itu tahun lalu, ketika kemuncak pergolakan negara berkenaan tercetus.

Presiden Sri Lanka, Ranil Wickremesinghe berkata ekonomi Sri Lanka akan kembali kepada pertumbuhan menjelang akhir tahun ini. (Gambar AP)
COLOMBO:
Presiden Sri Lanka, hari ini berkata negara kepulauan itu akan kekal muflis untuk sekurang-kurangnya tiga tahun lagi, ketika beliau berusaha memperbaiki kedudukan kewangan kerajaan yang terjejas akibat krisis ekonomi yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Ranil Wickremesinghe memegang jawatan itu tahun lalu, ketika kemuncak pergolakan negara berkenaan tercetus berikutan kekurangan makanan, bahan api dan ubat selama berbulan-bulan.

Sejak itu, beliau menaikkan kadar cukai dan berunding dengan pemiutang antarabangsa selepas gagal membayar hutang luar negara Sri Lanka untuk membuka jalan bagi bantuan daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang amat diperlukan.

“Jika kita meneruskan rancangan ini, kita mampu bangkit daripada muflis menjelang 2026.

“Langkah memperkenalkan dasar cukai baharu adalah keputusan politik yang tidak popular. Ingat, saya di sini bukan untuk menjadi popular.

“Saya mahu membina semula negara ini daripada krisis yang menimpanya,” katanya ketika berucap di Parlimen, menggesa sokongan bagi pembaharuan ekonomi.

Wickremesinghe berkata, bulan lalu ekonomi mungkin menguncup sehingga 11% bagi tahun lalu, apabila rizab pertukaran asing Sri Lanka kering dan menyebabkan peniaga tidak dapat mengimport barangan penting.

Bagaimanapun, hari ini beliau berkata, ekonomi akan kembali bertumbuh menjelang akhir 2023, apabila langkah hasil baharu meningkatkan jumlah tabung kerajaan.

Kenaikan cukai dan penghapusan subsidi bahan api serta elektrik tidak popular dalam kalangan orang awam Sri Lanka, yang sudah sedia dilanda krisis dan inflasi yang meluas.

Ucapan dasar oleh Wickremesinghe disampaikan pada masa yang sama dengan mogok kesatuan sekerja besar-besaran, dengan pengawal trafik udara, doktor dan beberapa industri lain menghentikan kerja.

Wickremesinghe berkata, Sri Lanka mencapai peringkat akhir perbincangan dengan IMF bagi mendapatkan bantuan awal sebanyak USD2.9 bilion.

Proses itu telah ditangguhkan oleh rundingan penyusunan semula hutang yang berlarutan dengan China dan pemiutang utama lain.

Wickremesinghe berkata Sri Lanka sedang berbincang secara langsung dengan China mengenai hutangnya yang tertunggak tetapi telah menerima “maklum balas positif daripada semua pihak” dan sedang berusaha ke arah perjanjian muktamad.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.