Mahkamah AS sekat usaha Biden hidupkan semua rancangan lupus hutang pelajar

Mahkamah AS sekat usaha Biden hidupkan semua rancangan lupus hutang pelajar

Mahkamah menolak permintaan pentadbiran Joe Biden untuk menghentikan sementara perintah hakim yang mengetepikan program bernilai USD400 billion itu.

Semasa kempen presiden 2020, Joe Biden berjanji untuk membantu bekas pelajar pengajian tinggi yang dibebani hutang. (Gambar AP)
BOSTON:
Mahkamah rayuan persekutuan hari ini menolak untuk menangguhkan keputusan hakim Texas bahawa rancangan Presiden Joe Biden untuk membatalkan ratusan bilion dolar hutang pinjaman pelajar adalah menyalahi undang-undang.

Mahkamah rayuan litar ke-5 AS yang berpangkalan di New Orleans menolak permintaan pentadbiran Biden untuk menghentikan sementara perintah hakim pada 10 Nov yang mengetepikan program pelupusan hutang pelajar bernilai USD400 bilion dalam tuntutan mahkamah oleh kumpulan advokasi konservatif.

Keputusan oleh hakim daerah AS di Fort Worth, Texas, Mark Pittman, itu adalah salah satu daripada dua keputusan peringkat persekutuan yang menghalang Jabatan Pendidikan AS bawah pentadbiran Biden daripada memberikan pelepasan hutang kepada jutaan peminjam.

Pentadbiran meminta Mahkamah Agung AS untuk turut membatalkan perintah mahkamah rayuan litar ke-8 AS berpangkalan di St Louis yang menghalangnya daripada membatalkan hutang pelajar, atas permintaan enam negeri Republikan.

Panel tiga hakim litar ke-5 dalam perintah ringkas hari ini enggan menangguhkan keputusan Pittman sementara pentadbiran merayu keputusannya, tetapi mahkamah mengarahkan rayuan itu didengar dengan segera.

Panel itu termasuk dua orang lantikan Republikan dan seorang hakim yang dicalonkan oleh bekas presiden Demokrat, Barack Obama.

Pittman dilantik oleh bekas presiden Republikan Donald Trump.

Biden mengumumkan pada Ogos bahawa kerajaan AS akan melupuskan sehingga USD10,000 hutang pinjaman pelajar bagi mereka yang berpendapatan kurang daripada USD125,000 setahun, atau USD250,000 untuk pasangan suami isteri.

Hutang penerima Geran Pell, yang dikhaskan untuk pelajar pengajian tinggi berpendapatan rendah, akan dibatalkan hingga USD20,000.

Semasa kempen presiden 2020, Biden berjanji untuk membantu bekas pelajar pengajian tinggi yang dibebani hutang.

Program Biden mendapat tentangan daripada Republikan, yang menggambarkannya sebagai mengalihkan beban hutang daripada golongan elit kaya kepada rakyat AS yang berpendapatan rendah.

Mengikut perkiraan pejabat belanjawan Kongres pada September, program pelupusan hutang itu akan menelan kira-kira USD400 bilion wang pembayar cukai.

Kira-kira 26 juta rakyat AS telah memohon agar hutang mereka sebagai pelajar dilupuskan, dan Jabatan Pendidikan AS telah meluluskan 16 juta permohonan pada masa Pittman mengeluarkan keputusannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.