Bunuh ‘pembakar hutan’: 49 dihukum mati

Bunuh ‘pembakar hutan’: 49 dihukum mati

Mangsa sukarelawan yang dibelasah dan dibakar mati akibat difitnah mengakibatkan kebakaran hutan besar-besaran pada Ogos tahun lalu.

Sukarelawan berusaha memadamkan kebakaran di kawasan hutan Algiers pada Ogos tahun lalu.
ALGIERS:
Mahkamah Algeria menghukum mati 49 orang kerana membunuh seorang lelaki yang difitnah mengakibatkan kebakaran hutan besar-besaran pada Ogos tahun lalu.

Media kebangsaan melaporkan, Djamel Ben Ismail, 38, dipukul mati orang ramai selepas menyerah diri di sebuah balai polis di Tizi Ouzou.

Mangsa menyerah diri selepas dimaklumkan dia dinamakan sebagai suspek ketika kemuncak kebakaran hutan yang membunuh sekurang-kurangnya 90 orang di negara itu.

Mangsa sebenarnya telah pergi ke daerah itu sebagai sukarelawan untuk membantu memadamkan api.

Mahkamah di Dar El Beida hari ini “menghukum mati 49 orang kerana membunuh dan merosakkan mayat mangsa”, lapor agensi berita APS. Bagaimanapun, negara Afrika Utara itu mengenakan moratorium terhadap hukuman mati sejak 1993.

Dua puluh lapan tertuduh lain dipenjara antara dua hingga 10 tahun tanpa parol.

Video dimuat naik ke internet ketika tempoh kejadian menunjukkan orang ramai mengelilingi sebuah van polis dan membelasah seorang lelaki di dalamnya, yang kemudian diheret keluar dan dibakar. Malah ada antara mereka turut mengambil swafoto.

Gambar ngeri itu dikongsikan meluas di Algeria dan mencetuskan kemarahan rakyat.

Bapa mangsa, Noureddine Ben Ismail bagaimanapun dipuji kerana menggesa orang ramai bertenang dan mengekalkan hubungan persaudaraan walaupun anaknya dibunuh kejam.

Kebakaran hutan itu berlaku akibat gelombang haba teruk, namun pihak berkuasa turut menyalahkan segelintir orang kerana sengaja mengakibatkan kebakaran.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.